FOTO: Rosamiah masih koma.AMPANG: Keprihatinan seorang lelaki menyelamatkan sepasang suami isteri yang tersepit selepas kemalangan bertukar tragedi apabila dia kehilangan kaki kanan dari paras paha akibat dilanggar sebuah kereta lain, awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, Ong Kim Koon, 52, dilanggar dari belakang ketika berusaha mengeluarkan Zainal Mohammad, 45, dari Perodua Viva yang dipandunya.
Sebelum itu, Ong berjaya mengeluarkan isteri Zainal, Rosamiah Hashim, 38, selepas kereta dinaiki pasangan terbabit berlanggar dengan sebuah Toyota Vios di Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2) berhampiran Tesco Ampang, di sini.
Bagaimanapun, ketika Ong mengeluarkan Zainal, dia dirempuh sebuah Toyota Estima dari arah belakang menyebabkannya tersepit pada Perodua Viva berkenaan.
Pemandu Toyota Estima yang melanggarnya pula melarikan diri dari tempat kejadian. Mujur, Ong dibantu beberapa individu lain yang lalu di kawasan itu dan membawanya ke hospital.
Ong yang ditemui di Hospital Ampang (HA) di sini, semalam, berkata sebelum kejadian itu dia dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Pandan Mewah selepas habis bekerja dan melihat dua kenderaan terbabit kemalangan.
