
KUALA LUMPUR – Malaysia akan menghantar kontinjen lebih 150 anggota ke temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade) kali ini, jumlah teramai dalam sejarah pembabitan negara dalam temasya itu sejak awal tahun 1980-an .
Pada edisi ke-26 temasya Universiade di Shanzen, China pada 11 hingga 23 Ogos depan, kontinjen negara dibarisi 125 atlet dan bakinya pegawai.
Temasya dwitahunan itu akan menghimpunkan seramai 10,000 atlet dan pegawai dari seluruh dunia.
"Untuk penyertaan kali ini, ia boleh dikatakan penyertaan teramai atlet dari Malaysia. Melalui kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara), kita telah mengenal pasti 125 orang atlet mahasiswa elit.
"Boleh dikatakan lebih 80 peratus atlet yang akan membawa cabaran negara adalah terdiri daripada atlet pelapis dan elit negara.
“Ada di antara mereka juga akan beraksi di Sukan SEA dan Sukan Olimpik London 2012,” kata penyelaras media bahagian sukan KPT, Nur Ekmal Buhary di sini hari ini.
