
BUKIT MINYAK – Seorang tukang cat sambilan terkejut apabila seekor ikan pelik memakan umpannya ketika memancing di sebatang sungai berhampiran kawasan Industri Kecil Sederhana (IKS) Bukit Minyak, di sini.
Sabudin Ahmad, 53, dari Kampung Permatang Tok Suboh berkata, ikan berwarna hitam berkilat itu ditemui ketika di memancing di sungai berkenaan lewat petang 21 Mei lalu.
Menurutnya, ikan berkenaan mempunyai rupa fizikal seperti ikan haruan namun, mempunyai muncung seperti buaya.
“Saya memang gemar memancing di sungai berkenaan jika mempunyai masa lapang dan tidak menyangka ikan ini memakan umpan. Ia merupakan pengalaman pertama saya setelah lebih berpuluh tahun memancing ikan air tawar.
“Pada mulanya, saya sangka ia ikan haruan, tetapi selepas diangkat, rupanya amat pelik dengan mempunyai muncung selain matanya hitam berkilat. Malah, saya pun tidak pasti ia dari spesies mana kerana belum pernah melihatnya sebelum ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya lewat petang kelmarin.
Sabudin berkata, rumahnya tidak putus-putus menerima kunjungan daripada penduduk kampung selepas berita mengenai penemuan itu tersebar.
Katanya, mereka datang untuk melihat sendiri keunikan ikan yang kadangkala mampu bertindak agresif itu.
“Saya tidak tahu apa yang mahu dilakukan terhadap ikan ini, tetapi yang pasti saya akan membelanya buat sementara waktu kerana bukan mudah untuk jumpa ikan sebegini.
