Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.KUALA LUMPUR – Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tidak bercadang membenarkan mana-mana institut pengajian tinggi awam (IPTA) selain Universiti Sains Malaysia (USM) membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui Unit Pusat Universiti (UPU).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, buat masa ini hanya USM dibenarkan berbuat demikian memandangkan universiti terbabit telah pun mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.
Katanya, kementerian juga belum menetapkan sebarang kriteria bagi melayakkan sesebuah universiti untuk memohon dikecualikan proses UPU tersebut.
“Pengambilan pelajar seterusnya adalah pada September 2012. Ada setahun lagi, jadi tidak perlu terburu-buru untuk membuat keputusan,” katanya kepada wartawan di sini hari ini.
Universiti Malaya (UM) semalam menjangkakan akan mengikuti langkah USM untuk membuat pengambilan terus pelajar tanpa melalui UPU.
UM kini sedang menunggu lampu hijau daripada kementerian berkenaan manakala USM pula telah memansuhkan penggunaan sistem UPU setelah mendapat pengiktirafan sebagai Universiti Apex.
Bagaimanapun beberapa universiti awam lain seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menganggap sistem UPU masih relevan.
