
SEREMBAN - Setelah empat tahun menunggu, empat orang anak amat gembira apabila dibenarkan bapa mereka untuk meraikan Aidilfitri tahun ini di kampung bekas isterinya di Kampung Kenanga Jementah, Segamat, Johor.
Namun, kegembiraan itu hancur berkecai apabila mereka dikejutkan dengan kemalangan yang mengorbankan wanita berkenaan, Dalila Hashim, 40, dan adik tiri mereka, Che Najwan Haniff Che Rosdi, setahun, di Kilometer 252.9 Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara, berhampiran Senawang dekat sini, kira-kira 5.45 petang kelmarin.
Salah seorang anak mangsa hasil perkahwinan pertama, Nurnabilahuda Mohd Amir, 19, berkata, dia dan adik-beradik lain menyambut Aidilfitri di kampung bapanya di Perak sejak berpisah dengan ibu mereka.
“Namun, pada tahun ini, ayah membenarkan kami untuk beraya bersama ibu dan Che Najwan Haniff di Kampung Kenanga Jementah.
“Saya sempat membayangkan betapa seronoknya dapat membawa ibu untuk membeli baju raya adik (Che Najwan Haniff) tetapi kini ia tidak akan menjadi kenyataan,” katanya ketika ditemui di perkarangan Jabatan Forensik, Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dekat sini, semalam.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu ibu dan Che Najwan Haniff adalah ketika menyambut ulang tahun kelahiran adik tirinya itu pada 25 Mei lalu.
“Saya sempat berbual dengan ibu menerusi telefon, Sabtu lalu, untuk bertanya khabarnya dan adik. Tidak sangka pula itu perbualan kami yang terakhir,” katanya.
Dalila dan Che Najwan Haniff merupakan penumpang lori kecil yang dipandu suaminya, Che Rosdi Ahamad, 33, dan kedua-duanya tercampak keluar dari kenderaan itu setelah dilanggar sebuah kereta jenis Proton Perdana.
Dalam kejadian menyayat hati itu, Dalila dan anaknya meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah pada badan dan kepala manakala Che Rosdi yang cedera parah dikejarkan ke HTJ untuk menerima rawatan.
Sementara itu, Che Rosdi ketika ditemui di HTJ berkata, kejadian yang mengorbankan isteri dan anaknya itu berlaku terlalu pantas.
“Semasa sedang berbual dengan Dalila, tiba-tiba sebuah kereta melanggar bahagian depan lori menyebabkan kenderaan yang saya pandu hilang kawalan lalu terbalik.
“Dalam situasi mencemaskan itu, saya dapati isteri dan anak saya tiada di bahagian tempat duduk penumpang,” katanya.
Kata Che Rosdi, sejurus selepas kejadian, dia keluar dari lori dan mendapati Dalila dan Che Najwan Haniff dalam keadaan terbaring di atas bahu lebuh raya.
“Tidak dapat digambarkan betapa pilunya hati saya sebaik sahaja kedua-duanya disahkan meninggal dunia,” katanya.
