
KAMPUNG KURNIA JAYA – Panggilan telefon daripada adik ipar berhubung kebakaran rumah kira-kira jam 8.40 malam kelmarin, dianggap sebagai satu gurauan sehingga mangsa melihat sendiri kejadian yang meranapkan keseluruhan rumahnya.
Siti Fauziah Abdullah, 44, berkata, pada hari kejadian, dia membuat kerja lebih masa dan pulang lewat daripada kebiasaannya memandangkan mesin di kilangnya rosak.
Menurutnya, adik ipar yang menghubunginya mengatakan rumahnya terbakar dianggap sebagai gurauan sehingga dia melihat sendiri kejadian itu.
“Ketika diberitahu saya sedang menunggu suami untuk pulang ke rumah, bagaimanapun setelah sampai ke rumah semuanya telah musnah dijilat api.
“Bayangkan rumah yang telah diduduki sejak 27 tahun yang lalu musnah dalam sekelip mata,” katanya semalam.
Katanya, dia bersyukur kerana dua anak yang baru balik daripada mengaji tidak berada di rumah kerana ke rumah nenek yang bersebelahan dengan rumah mereka.
“Kejadian ini akan dikenang sampai bila-bila tambahan pula, hanya seminggu lagi umat Islam akan mula berpuasa.
“Sebelum ini, jika ada sebarang kebakaran atau kematian, sayalah orang pertama yang memungut sumbangan daripada kawan-kawan di kilang untuk diberikan kepada mangsa, tetapi bila tiba pada diri sendiri, saya panik dan tidak tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya.
Siti Fauziah berkata, dia redha dengan dugaan yang diberikan Allah kepadanya sekeluarga, buat masa sekarang dia tinggal di rumah milik keluarganya untuk sementara waktu.
