
SINGAPURA - PARA peniaga wanita yang merancang meneroka peluang perniagaan dengan peniaga dari seberang Tambak boleh menyertai satu sesi menjalin rangkaian dengan 18 firma Malaysia milik peniaga wanita Isnin ini.
Sesi anjuran Perbadanan Pembangunan Dagangan Luar Negara Malaysia (Matrade) dengan kerjasama cabang wanita Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS), Usahawan Dinamik Wanita Antarabangsa (Dewi@SMCCI) itu diadakan sempena Misi Perniagaan Usahawan Wanita Malaysia ke Singapura.
Acara yang akan diadakan di Intercontinental Hotel dari 9.30 pagi hingga 12 tengah hari itu akan disusuli dengan sesi pemadanan perniagaan yang dibuka kepada semua anggota DPPMS.
Menurut Pengerusi Dewi, Cik Junaidah Tarjo, acara itu adalah sejajar dengan matlamat Dewi untuk meluaskan portfolio perniagaan para anggotanya dan membantu mereka meluaskan rangkaian serta pasaran mereka.
'Apa yang menarik ialah kesemua firma negara jiran yang berkunjung nanti dimiliki peniaga wanita dan mereka telah menerima bimbingan daripada pihak Matrade dalam perniagaan mereka, jadi banyak yang boleh dikongsi bersama para peniaga wanita setempat kita nanti.
'Tetapi apa yang penting, ini merupakan peluang yang amat baik untuk peniaga wanita Melayu setempat berkenalan serta meninjau peluang kerjasama bagi menembusi pasaran negara jiran.
'Di samping itu, ia juga menyajikan peluang baik kepada para peniaga yang ingin mendapatkan pembekal baru mahupun produk baru memandangkan ada di antara peniaga tersebut adalah pengeksport dan pengimport yang juga para peniaga wanita ,' jelas Cik Junaidah.
Sebanyak 18 syarikat dari Malaysia itu terdiri daripada pelbagai industri termasuk makanan dan minuman, penjagaan kesihatan, pengilangan, kosmetik dan kejuruteraan.
Menurut Cik Junaidah lagi, sesi itu diharap dapat menarik sekurang-kurangnya 20 syarikat setempat.
Dalam pada itu, satu sesi pemadanan perniagaan akan diadakan bagi semua anggota dewan dari 2 hingga 4.30 petang.
