
KUALA TERENGGANU - Kementerian Pelancongan menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) menyiasat dan mengambil tindakan terhadap mana-mana pengusaha rumah tumpangan yang menggunakan istilah homestay tanpa sebarang kelulusan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata, pihak kementerian tidak mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana pengusaha terbabit kerana homestay didaftarkan di bawah di PBT di setiap negeri.
Menurutnya, mengikut kajian yang dilakukan pihak kementerian sejak awal tahun ini mendapati, terdapat hampir 800 rumah tumpangan di seluruh negara dikesan menggunakan istilah homestay tetapi tidak menepati ciri-ciri homestay yang sebenar, sebaliknya hanya menawarkan kemudahan penginapan.
“Kita mewujudkan homestay ini dengan tujuan membantu menambahkan pendapatan penduduk luar bandar dan memberi peluang kepada pelancong untuk merasai suasana kehidupan kampung yang sebenar.
“Tindakan pengusaha rumah tumpangan ini sebenarnya mengelirukan orang ramai serta menjejaskan pengusaha homestay yang sebenar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan taklimat berhubung sektor pelancongan di Negeri-negeri Pantai Timur bertajuk Pelan Pembangunan dan Peluang Perniagaan.
