Baginda Sultan berkenan bersalaman dengan peserta tarik kalat.
Awang Badan dengan baju tradisi Iban sebelum berziarah bersama Baginda Sultan, manakala foto kanan Hajah Sari menitiskan air mata sambil menyembahkan terima kasih dan syukur ke hadapan majlis Baginda Sultan.
BANGAR (Brunei DS) - Kesempatan menatap wajah seorang raja yang dikasihi sudah tentu akan dikenang sepanjang hayat.
Ternyata keberangkatan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Wadaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam bercemar duli ke Majlis Ramah Mesra dan Junjung Ziarah Bersama Rakyat dan Penduduk Daerah Temburong sempena Hari Keputeraan ke-65 amat dinantikan warga daerah ini.
Wartawan sempat merakamkan raut-raut wajah ceria yang turut menyambut keberangkatan itu, termasuk seorang warga emas, Dayang Hajah Sari yang menyembahkan sendiri ucap selamat Hari Keputeraan ke hadapan majlis Baginda Sultan.
Beliau mendoakan semoga Baginda Sultan sentiasa kekal karar memerintah negara sehingga ke akhir hayat.
Sambil menitiskan air mata gembira, Dayang Hajah Sari juga tidak lupa menyembahkan rasa terima kasih ke hadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia di atas kemurahan mengurniakan pencen tua serta mendoakan Baginda dilanjutkan usia.
Perasaan itu turut dikongsi Awang Badan Lasung dari Kampung Parit Temburong yang berkata, keberangkatan Baginda Sultan ke majlis itu adalah kebanggaan seluruh rakyat dan penduduk di negara ini khasnya bagi Daerah Temburong.
Beliau juga menyembahkan sendiri ucap selamat menyambut Hari Keputeraan ke hadapan majlis Baginda Sultan semoga raja sentiasa kekal karar memerintah negara.
"Peluang keemasan yang diadakan setahun sekali ini memang sudah menjadi acara yang sudah tertulis dalam kalendar saya kerana jarang sekali kita melihat seorang raja yang begitu hebat meraikan Hari Keputeraannya bersama rakyat secara dekat dan terbuka," tambah Awang Badan.
Bagi Awang Hadi Haji Sufyan Ali Aziz yang bertugas sebagai guru, beliau amat menyanjung tinggi kepimpinan Baginda Sultan yang sentiasa prihatin terhadap kehidupan rakyat terutamanya dalam meningkatkan taraf pendidikan, pembelajaran, pembangunan dan ekonomi rakyat.
Katanya, beliau tiba seawal 6.30 pagi di lokasi Majlis Ramah Mesra kerana tidak mahu mensia-siakan detik keemasan itu.



