
SINGAPURA - PENAGIH veteran, ada yang sudah bergelar wak, lebih suka diajak berbincang soal hidup harian daripada bekalan agama.
Ini kerana rata-rata mereka sudah pun mempunyai asas agama dan apabila berbincang, ada yang 'macam mufti' atau tahu nas dan dalilnya.
Kaunselor pula tidak boleh mendabik dada 'akulah ustaz' atau memandang rendah kepada mereka.
Malah, untuk berbual dengan mereka, kaunselor perlu menggunakan lenggok bahasa penjara atau bahasa jalanan - tidak boleh terlalu akademik atau cakap gaya golongan terpelajar.
'Anda cubalah berbual dengan mereka dengan menggunakan bahasa Melayu tinggi atau bahasa orang terpelajar, mereka sama ada buat bodoh atau berbual sesama sendiri.
'Tetapi, kalau kita bercakap gaya mereka dan tahu isi hati mereka, lain pula sambutan yang diberikan! Mereka mudah berkongsi pengalaman,' kata kaunselor, Ustaz Hanapi Kassim, 58 tahun, yang mempunyai pengalaman tujuh tahun memberi kaunseling kepada penagih dan banduan.
Beliau dan seorang lagi kaunselor, Ustaz Umar Siraj, 50 tahun, yang juga berpengalaman selama tujuh tahun, kini terlibat dalam memberi kaunseling di Penjara Changi.
Mereka dan dua lagi kaunselor memberikan kaunseling kepada 750 banduan, termasuk penagih degil yang ditahan di bawah aturan penahanan lebih lama (LT) di penjara.
Ustaz Umar sendiri mengaku bukan mudah berinteraksi dengan para banduan itu, terutama semasa mula-mula bertemu atau di peringkat awal kaunseling.
'Mereka datang daripada pelbagai latar belakang dan jenayah yang dilakukan. Tetapi, rata-rata hanya berpendidikan sekolah menengah.
'Ada di kalangan banduan itu merupakan seorang ustaz. Tetapi, kalau kita dah dapat menarik minat mereka dengan berbincang soal- soal melibatkan masalah mereka, perbincangan biasanya semakin bersemangat.
'Alhamdulillah, sejauh ini saya rasa para banduan dapat menerima nasihat yang diberikan,' ujarnya sambil menyatakan bahawa beliau dan Ustaz Hanapi masih mengekalkan hubungan dengan beberapa banduan selepas mereka dibebaskan.
Kededua ustaz itu akur pelbagai latihan yang dijalani banyak membantu dalam menjalankan tugas secara sukarela itu.
