
SINGAPURA - DUA lelaki warga Malaysia diberkas kerana disyaki terlibat dalam kes mengeluarkan wang tunai tanpa izin berjumlah lebih $500,000 menerusi mesin tunai automatik (ATM).
Pelbagai peralatan penyiringan (skimming) ATM dirampas daripada lelaki berusia 27 tahun dan 39 tahun itu.
Peralatan itu termasuk panel khas, kamera lubang jarum dan penyekat peralatan asing (FDI).
Alat-alat itu dipercayai digunakan dengan peralatan kad penyiringan bagi menggodam dan menceroboh ATM.
Dalam satu kenyataan semalam, polis menyatakan kedua-dua lelaki Cina itu diberkas di sebuah hotel di Lorong 22 Geylang.
Mereka berada di negara ini menggunakan pas lawatan sosial.
Menurut polis, sejak kelmarin para pegawai daripada Jabatan Ehwal Komersial (CAD) dengan dibantu Jabatan Risikan Polis menjalankan operasi serata pulau bagi menjejak mereka yang terlibat mengeluarkan wang tanpa izin menerusi ATM.
Dalam insiden itu, wang sebanyak $500,000 daripada akaun sekitar 400 pelanggan setempat DBS dan POSB dikesan telah dikeluarkan tanpa izin menerusi ATM.
DBS Bank sebelum ini menyatakan siasatan awalnya menunjukkan dua ATM di Bugis Street telah 'diusik' dan dikenal pasti sebagai penyebab masalah itu.
Pemeriksaan awal yang dijalankan tertumpu pada tiga tarikh lewat November lalu.
DBS telah menghubungi lebih 2,700 pelanggannya yang menggunakan dua ATM itu pada tarikh tersebut.
Dalam kenyataan semalam polis juga menyatakan bahawa dua lelaki itu akan dihadapkan di Mahkamah Rendah hari ini kerana memiliki peralatan yang digunakan bagi membuat instrumen palsu dengan niat untuk mencetuskan prejudis.
Di bawah Kanun Keseksaan, sesiapa yang didapati bersalah bagi kesalahan itu boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
