IMBASAN: Anggota polis cuba meleraikan orang ramai yang melakukan demonstrasi ketika upacara pelantikan Menteri Besar baharu dijalankan di Ipoh, Perak pada 6 Februari 2009.PUTRAJAYA - Selepas lebih setahun dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur atas dakwaan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak, Pengerusi DAP, Karpal Singh semalam diperintah untuk membela diri atas tuduhan tersebut oleh Mahkamah Rayuan di sini.
Panel tiga hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Ahmad Maarop yang bersidang bersama Hakim Datuk Clement Allan Skinner dan Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan Pendakwa Raya terhadap tuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 itu.
Ekoran itu, keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Azman Abdullah pada 11 Jun tahun lalu yang melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu tanpa dipanggil membela diri diketepikan.
Panel itu turut memerintahkan kes itu disebut di Mahkamah Tinggi pada 9 Februari depan untuk menetapkan tarikh perbicaraan di hadapan Azman.
Peguam terkemuka itu dituduh berbuat demikian di firma guamannya, Tetuan Karpal Singh & Co di Jalan Pudu Lama di ibu negara di antara 12 hingga 12.30 tengah hari pada 6 Februari 2009.
Ahmad ketika membacakan penghakiman bertulisnya berpendapat, Karpal wajar dipanggil membela diri selepas panel itu berpuas hati bahawa pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.
Pada hemat beliau, perkataan-perkataan yang diucapkan oleh peguam tersebut mempunyai kecenderungan menghasut dan menimbulkan perasaan tidak puas hati dan kebencian rakyat terhadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.
Ujar Hakim Ahmad, ia cenderung untuk merendah-rendah Sultan Perak dengan mempertikaikan kuasa prerogratif (hak istimewa) baginda yang termaktub di bawah perlembagaan.
Beliau berpendapat, perbuatan Karpal itu telah melepasi batas-batas peradaban antara rakyat dan raja berperlembagaan yang membawa maksud bahawa Sultan Perak boleh diberi 'kata dua' atau pernyataan tegas.
Sehubungan itu, panel tersebut berpuas hati dengan penghujahan pihak pendakwaan bahawa Karpal telah mempersoalkan hak mutlak dan bidang kuasa Sultan Perak, yang mana ia termasuk di bawah Seksyen 3(1)(f) Akta Hasutan 1948.
