Rabu, 24 Februari 2010
Bella kesal Lari ikut kekasih ke Lombok Indonesia
"Saya mohon maaf dan menyesal tinggalkan keluarga tanpa izin," kata pelakon remaja, Salsabila Yunan, 15, atau Bella yang kembali ke tanah air semalam selepas tujuh bulan dilaporkan dilarikan ke Lombok, Jawa Tengah, Indonesia.
Pelakon yang membintangi beberapa drama tempatan termasuk Gerak Khas, Ke Syurga Cinta dan Renjis itu, berkata perbuatannya menyusahkan keluarga.
Bella yang kini mengandung lima bulan, tidak dapat menahan sebak sebaik disambut bapanya, Yunan Mat Ayat, 77, yang membesarkannya sejak sembilan tahun lalu selepas kematian ibunya. Pertemuan penuh emosi itu turut disertai kakak Bella, Faridah, 50.
"Saya gembira dapat jumpa ayah dan keluarga, tetapi sedih kerana suami tidak dapat (pulang) bersama ke Malaysia," katanya kepada pemberita di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di sini dengan menaiki pesawat AirAsia dari Surabaya, petang semalam.
Bella dilaporkan dilarikan seorang lelaki berasal dari Lombok, Hafiz Sukma, 26, pada 7 Ogos lalu sebelum dipaksa berkahwin dengannya. Bapanya membuat laporan polis pada hari sama selepas Bella yang keluar dengan berpakaian sekolah tidak pulang ke rumah.
Pelakon remaja itu berkata, beliau berhasrat untuk meneruskan pelajaran selepas melahirkan anaknya.
