Rabu, 24 November 2010
Penantian Puvaneswaran berakhir
KONTINJEN Malaysia kini hanya memerlukan satu lagi pingat emas untuk melengkapkan sasaran sembilan pingat emas pada Sukan Asia 2010.
Tanpa diletakkan sebarang harapan, pingat emas kelapan Malaysia hadir menerusi sukan karate di Gimnasium Guangdong, Guangzhou petang semalam setelah R. Puvaneswaran mengungguli acara Kumite bawah 55 kilogram lelaki.
Pada sebelah pagi, karate yang membuka tirai saingannya telah menghadirkan pingat emas ketujuh negara menerusi Ku Jin Keat dalam acara Kata individu lelaki.
Bagi Puvaneswaran, pingat emas yang dimenanginya itu berjaya memadam kekecewaan sekadar meraih pingat perak pada Sukan Asia 2006 di Doha, Qatar.
"Inilah yang saya sasarkan selama empat tahun ini. Akhirnya penantian berbaloi. Saya berjaya menamatkan saingan kali ini dengan kegembiraan meraih emas," katanya ketika ditemui selepas upacara penyampaian pingat semalam.
Pada aksi final, Puvaneswaran, 36, berjaya menewaskan Emad Mohammed Almaliki dari Arab Saudi pada pertarungan yang cukup sengit.
