Jumaat, 27 Julai 2012
Perompak rumah Megat Junid diberkas
KELANA JAYA - Polis menahan enam suspek termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan berhubung kejadian rompakan di rumah milik Allahyarham Tan Sri Megat Junid Megat Ayob di sini pada 18 Julai lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata , tangkapan pertama melibatkan seorang wanita berusia 28 tahun di Kampung Baru Air Panas, Setapak pada pukul 1.30 pagi kelmarin.
Menurut beliau, susulan tangkapan pertama, polis pada pukul 3.20 pagi hari yang sama menahan tiga lelaki berusia 26 hingga 52 tahun di sebuah rumah di Flat Seri Sabah, Cheras.
Polis pada pukul 5 pagi kemudian menahan dua lagi suspek warga Indonesia berusia 21 dan 28 tahun di Batu 10, Cheras.
"Keenam-enam suspek terbabit merupakan rakan manakala dua lelaki Indonesia terbabit bekerja sebagai buruh," kata beliau pada sidang akhbar di sini.
Mohd. Adnan memberitahu, polis masih menyoal siasat kesemua suspek bagi melengkapkan siasatan kes tersebut.
