KUCHING - Penerjun negara, Pandelela Rinong Phamg, 19, yang memenangi pingat gangsa di Sukan Olimpik 2012 disambut lebih 1,000 peminatnya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, di sini, semalam.
Pandelela yang menaiki pesawat Malaysian Airline System (Mas) dari Kuala Lumpur, tiba pada tengah hari dengan ditemani bapanya, Phamg Joheng dan ibunya, Hartini Lamin.
Sambutan hebat itu sebagai tanda menghargai kejayaan yang diraih Pandelela dalam sukan berprestij itu. Meskipun gagal membawa pulang pingat emas pertama negara, Pandelela dijulang sebagai anak pertama Sarawak serta atlet wanita pertama negara yang berjaya memperoleh kejayaan di Sukan Olimpik.
Pandelela kemudian diarak sejauh 20 kilometer menggunakan kenderaan jenis coupe dan diiringi motosikal berkuasa tinggi dari KIA hingga ke Astana Negeri, Petra Jaya bagi menerima Pingat Johan Bintang Kenyalang dari Yang Dipertua Negeri Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng.
Apabila ditemui wartawan, Pandelela berkata, selepas lebih setahun tidak pulang ke Kuching, dia gembira kerana kepulangannya kali ini membawa kejayaan dan disambut dengan meriah.
“Saya sangat gembira dan berharap dengan kemenangan yang diraih dalam temasya Sukan Olimpik itu, akan menjadi pencetus semangat untuk melahirkan lebih ramai atlet terjun negara pada masa akan datang,” katanya.