KOTA BHARU - Seorang pesara forensik dihadapkan ke Mahkamah Majistret di
sini, kelmarin atas tuduhan mencabul seorang peniaga di sebuah rumah di
Jalan Yaakobiah di sini, bulan lalu.
Tuduhan terhadap warga emas berusia 60 tahun itu dibuat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.
Tuan Manan Tuan Soh dari Kuala Lumpur didakwa menggunakan kekerasan
jenayah ke atas wanita berusia 41 tahun itu dengan menyedari perbuatan
itu akan mencabul kehormatannya jam 11 malam, 23 Disember.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Noor Dayana
Mohamad. Pada prosiding kelmarin, tertuduh bagaimanapun mengaku tidak
bersalah.
Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly membenarkan tertuduh diikat jamin RM13,000 dengan seorang penjamin.
Terdahulu, tertuduh melalui peguam belanya merayu supaya jaminan
dikurangkan kerana memiliki anak yang masih bersekolah berusia antara
lapan dan 12 tahun.
“Tertuduh masih mempunyai tanggungan dan seorang anaknya baru selesai
menjalani pembedahan kerana ketumbuhan selain seorang isteri bekerja
sebagai guru.
“Tertuduh juga menghidap penyakit diabetes dan asma serta berjanji
tidak akan melarikan diri atau mengganggu mangsa,” katanya. Kes
bersambung 20 Januari depan.(sh)
