Jumaat, 10 Mei 2013
Parti Golkar (Indonesia) kembang sayap di Malaysia
KUALA LUMPUR – Parti tertua Indonesia, Golkar menjalankan kempen awal untuk menghadapi pilihan raya Indonesia tahun depan dengan mendekati rakyat negara itu yang bekerja di Malaysia.
Ketua Umumnya, Aburizal Bakrie yang berada di Malaysia selama dua hari bermula Ahad lalu cuba memperkukuhkan kedudukannya sebagai calon Presiden Indonesia bagi parti berkenaan seperti diputuskan mesyuarat pimpinan tertinggi parti itu tahun lalu.
Menurut Aburizal, kehadiran beliau ke Malaysia menunjukkan Golkar serius mendekati rakyat Indonesia dan membantu mereka walaupun berada di luar negara, seterusnya melayakkan parti itu mendapat mandat sebagai kerajaan.
Katanya, masyarakat Indonesia di Malaysia yang berjumlah lebih dua juta orang seharusnya mengambil bahagian dalam sistem pilihan raya republik itu dengan mengundi secara pos. Beliau berharap lebih ramai akan berbuat demikian berbanding hanya 150,000 orang pada tahun 2009.
“Selepas ini, Golkar melalui Ketua Parti Golkar Luar Negara (PGLN) Malaysia-Brunei, Musthafa Bakri akan ke Hong Kong, Jepun, Korea dan meminta perwakilan Golkar di sana untuk memberitahu masyarakat Indonesia mengenai rancangan Golkar jika memenangi pilihan raya dan pilihan raya Presiden Indonesia nanti,” katanya.(kosmo)