Ahad, 19 Mei 2013
Tunku Aziz : Nekad terus dedahkan 'rahsia' DAP
SHAH ALAM – Bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku Abdul Aziz Ibrahim mendakwa akan terus mendedahkan semua rancangan DAP yang didakwanya bertujuan untuk merosakkan negara kepada umum.
Sebagai seorang anak Melayu tegasnya, beliau tidak pernah menjual ‘rohnya’ kepada DAP dan menjadi tugasnya untuk mempertahankan keamanan negara dari pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Saya akan terus dedahkan kepada umum semua rancangan ‘rahsia’ DAP yang cuba merosakkan negara.
"Sudah menjadi tugas saya untuk mendedahkan tujuan yang tidak betul, saya tidak takut!” dakwanya, hari ini.
Ditanya mengenai amaran Pengerusi DAP, Karpal Singh yang mahu mengambil tindakan mahkamah sekiranya Abdul Aziz terus mendedahkan rahsia DAP, Abdul Aziz menjawab beliau bersedia berhadapan dengannya di mahkamah.
“Saya tidak takut dengan amaran tersebut, ini negara saya, keluarga saya sudah berada di negara ini sejak ribuan tahun lalu, saya tidak akan jual roh saya kepada DAP.
“Semakin amaran begini dikeluarkan, semakin itulah semangat saya untuk dedahkan ‘rahsia’DAP berkobar-kobar,” katanya.(sh)