Jumaat, 21 Jun 2013
Perang psiko Kiram
Laporan media Filipina, kelmarin.
KOTA KINABALU - Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib mengakui pengganas Kiram kini terpaksa melancarkan perang saraf bertujuan untuk memberikan semangat kepada ahli-ahlinya untuk kembali kepada objektif asal mereka mahu merampas Kepulauan Borneo.
Beliau berkata, tindakan menyebarkan berita kononnya berlaku pertempuran antara pihak pengganas dan pasukan keselamatan di Kampung Dengan, Tungku sebagai salah bukti bahawa mereka sudah kehilangan sokongan daripada ahli-ahlinya.
“Ini taktik yang sudah kita jangka, kumpulan pengganas itu kini semakin hilang sokongan dari ahli-ahli mereka, jadi langkah terdesak ini terpaksa diambil untuk mengembalikan sokongan dan semangat kepada pemimpin utama mereka termasuk Agbimuddin Kiram dan Jamalul Kiram.
“Walau bagaimanapun, polis dengan dibantu oleh Angkatan Tentera Malaysia akan terus mempertingkatkan kawalan dan rondaan di kawasan pantai timur Sabah termasuk di Zon Tanjung Labian dan Lahad Datu serta kawasan lain yang dikenal pasti sebagai lokasi ‘panas’ sebelum ini,” katanya, semalam.(sh)