Jumaat, 30 Ogos 2013
Siswi diperkosa teman facebook
LEDANG – Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini dirogol teman lelaki yang baru dikenalinya sejak sebulan lalu di sebuah kebun kelapa sawit di Bukit Gambir, dekat sini, 12 Ogos lalu.
Ketua Polis Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, pada siang hari kejadian, mangsa bersama lelaki yang dikenalinya melalui laman sosial Facebook itu dikatakan keluar bersiar-siar.
“Ketika dalam perjalanan pulang untuk menghantar mangsa yang berusia 15 tahun ke rumahnya di sebuah kampung di Bukit Gambir, suspek mengajaknya singgah di kebun itu sebelum bertindak merogolnya.
“Atas desakan keluarga, mangsa membuat laporan di Balai Polis Bukit Gambir jam 10 pagi pada 27 Ogos lalu iaitu 16 hari selepas kejadian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ledang, di sini, semalam.
Harun berkata, susulan daripada laporan diterima, polis menjalankan siasatan dan berjaya menahan suspek di rumah keluarganya di Kampung Parit Jarum Laut, dekat sini, sekitar jam 6 petang, 29 Ogos lalu.
“Turut dirampas motosikal dipercayai digunakan suspek ketika ke kebun sawit itu untuk merogol mangsa,” katanya.
Beliau berkata, mangsa masih bersekolah, manakala suspek bekerja di sebuah bengkel basikal di pekan berkenaan.
