Rabu, 2 April 2014
Status perkahwinan Nurul Izzah ditentu 12 Jun
KUALA LUMPUR - Status perkahwinan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan suaminya, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim akan diketahui pada 12 Jun ini selepas jawatankuasa pendamai membuat laporan berhubung jalan penyelesaian dalam kes perceraian itu.
Hakim Syarie Abdul Malek Awang menetapkan tarikh itu bagi membolehkan jawatankuasa pendamai yang dilantik oleh Nurul Izzah dan Raja Ahmad Shahrir mengemukakan laporan mereka kepada mahkamah.
Abdul Malek menetapkan tarikh itu dalam kamarnya ketika kes itu disebut semalam, dihadiri Nor Mawaddah Ramli yang mewakili Nurul Izzah dan peguam Zulkifli Che Yong mewakili Raja Ahmad Shahrir.
Ketika ditemui pemberita, Zulkifli berkata, mahkamah juga memerintahkan Nurul Izzah dan suaminya mengemukakan senarai nama dan calon jawatankuasa pendamai itu pada 17 April ini.(Kosmo)
