Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Ahad, 15 November 2009

Manohara tidak didera - Tengku Azwani

TENGKU Muhammad Fakhry diiringi peguamnya di Mahkamah Tinggi Syariah, di Balai Islam, Kota Bharu, Kelantan, semalam.


KOTA BHARU - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini diberitahu bahawa Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra tidak pernah mendera isterinya, Manohara Odelio Pinot sepanjang berada di negeri ini.

Saksi tunggal pihak plaintif, Tengku Azwani Tengku Iskandar, 26, berkata, laporan-laporan media mengenai dakwaan Manohara didera oleh suaminya adalah tidak benar.

Menurut sepupu kepada Tengku Temenggong itu : "Laporan itu tidak benar, sebab saya sentiasa bersama Manohara dan sekiranya ada, mesti dia (Manohara) mengadu kepada saya."

Dalam perbicaraan di hadapan Hakim Syarie Mohd. Yusof Awang, Tengku Azwani yang mengaku rapat dengan sepupunya dan Manohara, menganggap hubungan kedua-dua pasangan berkenaan adalah baik dan mesra.

Beliau menyatakan demikian dalam perbicaraan kes tuntutan Manohara kembali taat kepada suaminya semasa disoal peguam syarie, Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Tengku Muhammad Fakhry.

Menjawab soalan hakim, Tengku Azwani mengakui mempunyai hubungan baik dengan sepupunya itu sejak kecil dan tidak pernah berselisih faham.

Begitu juga dengan Manohara yang rapat dengannya selepas berkahwin dan tinggal di negeri ini.

''Saya sering menemani defendan kerana kedudukan rumah saya dan kediaman pasangan itu hanya mengambil masa 10 minit perjalanan sahaja," katanya.

Dalam perbicaraan yang berlangsung hampir sejam itu, pihak defendan tidak hadir begitu juga peguam syarie yang mewakilinya.

Pada prosiding sama, mahkamah turut mendengar afidavit keterangan bertulis Tengku Muhammad Fakhry bagi perbicaraan tuntutan hutang berjumlah RM1,112,250 terhadap Manohara.

Afidavit keterangan sebanyak 31 perenggan dengan 10 muka surat itu antara lain mengandungi sijil perakuan perkahwinan, resit pembelian jam tangan bernilai RM174,000 di samping beberapa keping salinan penghantaran wang melalui mesin teler automatik (ATM) dan salinan borang kiriman wang tunai kepada defendan.

Menjawab soalan hakim, plaintif yang sebelum itu sanggup melafazkan sumpah syarie mengaku segala pemberian di dalam afidavit keterangan itu merupakan pinjaman kepada defendan termasuk membayar kepada sebuah syarikat jualan kereta di Indonesia bagi menjelaskan pembiayaan kenderaan bernilai RM286,450 pada 21 Januari 2008.

Beliau menjelaskan soal hutang di antara suami isteri, ia merujuk kepada Seksyen 9, Enakmen Tatacara Mal dan pindaan penyata tuntutan itu telah difailkan.

Hakim Syarie kemudiannya menetapkan 13 Disember depan untuk memutuskan soal tuntutan hutang dan kembali taat kepada suami itu.

Jumaat lepas, Tengku Muhammad Fakhry, 31, menyerahkan afidavit keterangan di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur bagi dua kes saman terhadap isterinya, Manohara yang mengandungi soalan dan jawapan bagi menggantikan soalan utama terhadap plaintif pada perbicaraan hari ini di hadapan Hakim Syarie, Radi Latif.

Zainul Rijal ketika bercakap kepada pemberita di luar mahkamah memberitahu, pihaknya menggunakan Seksyen 121, Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah yang mengandungi beberapa peruntukan membenarkan perbicaraan tanpa defendan.

''Di bawah seksyen tersebut menyatakan, jika salah satu pihak atau kedua-duanya tidak hadir, mahkamah masih boleh meneruskan perbicaraan. Kalau kedua-dua tidak hadir atau plaintif tidak hadir, mahkamah boleh buang kes.

''Bagaimanapun jika defendan tidak hadir, mahkamah boleh meneruskan perbicaraan seperti yang berlaku pada hari ini," katanya yang ditemui selepas perbicaraan.

Katanya, tujuan seksyen tersebut untuk mengelak kedua-dua belah pihak melengah-lengahkan kes dengan syarat penyampaian telah diserahkan kepada pihak yang satu lagi.

Ditanya sama ada pihak defendan tidak mempunyai peluang membela diri selepas peguam syarie yang mewakilinya, iaitu Mohd. Faiz Adnan dan Roshdan Sujak Rafie menarik diri daripada kedua-dua kes tersebut, Zainul berkata, pembelaan Manohara tetap diambil kira.

''Defendan telah diberi peluang secukupnya dan telah melantik peguam yang kemudiannya menarik diri.

''Saya sendiri tidak tahu puncanya namun dari segi undang-undang defendan telah diberi peluang serta pembelaan telah difailkan dan hakim akan mengambil kira pembelaan tersebut," katanya.

Rujukan:

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1116&pub=Utusan_Malaysia&sec=Mahkamah&pg=ma_01.htm


PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular