Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Sabtu, 14 September 2013

Bekas isteri ugut nikah mutaah

ALOR SETAR - “Kalau abang tak nak cerai, saya akan nikah (secara) mutaah dengan lelaki lain.” Kata-kata itu masih terngiang-ngiang di telinga Azam, 47, walaupun diucapkan bekas isterinya lapan tahun lalu.

“Kata-kata itu akan saya ingat sampai mati. Ia menusuk hati dan menjatuhkan maruah saya sebagai suami,” katanya menceritakan pengalaman mendirikan rumah tangga dengan pengikut tegar Syiah sehingga terpaksa menceraikan wanita itu berikutan perbezaan pegangan dan akidah.

Azam berkata, bekas isteri yang dinikahi pada 1997 itu nekad menuntut cerai kerana terlalu taksub dengan hasutan ‘tok guru’ Syiah selepas dia enggan mengikuti pengajian dan seterusnya menjadi pengikut kumpulan berkenaan.

Malah, dia yakin ugutan bekas isterinya mahu berkahwin lagi secara mutaah walaupun masih menjadi isterinya, diajar ‘tok guru’ Syiah berkenaan.

Menurutnya, selepas pelbagai usaha mengajak bekas isteri kembali ke pangkal jalan gagal, dia terpaksa menceraikannya selepas mendapat nasihat beberapa kaunselor dan tokoh agama yang menyatakan, hanya perceraian dapat mengatasi masalahnya berikutan wanita itu menganuti ajaran yang sangat berbeza dengan umat Islam lain di negara ini.

“Sebelum mengambil keputusan bercerai pada 2004 iaitu selepas tujuh tahun berkahwin, puas saya memujuknya supaya kembali kepada ajaran Sunni (Ahli Sunnah Wal Jamaah) dan meninggalkan Syiah yang jelas bertentangan dengan akidah Islam.

“Namun, dia bertegas kononnya Syiah adalah aliran Islam yang terbaik,” katanya kepada Metro Ahad di sini.

Azam berkata, pada awal perkahwinan mereka, bekas isterinya yang juga guru tidak menimbulkan masalah, malah sangat mendokong pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ).

Menurutnya, perangai bekas isterinya berubah selepas berkawan baik dengan seorang guru wanita di sekolahnya dan selepas itu, bekas isteri kerap menceritakan kebaikan secara berlebih-lebih mengenai Ahlul Bait (keluarga Nabi).

“Ketika itu, saya langsung tidak mencurigai kelakuannya. Namun, dia pernah menyatakan mazhab Ahlul Bait (Syiah) adalah terbaik berbanding mazhab muktabar lain, menyebabkan saya mula terasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Tidak lama selepas itu, isteri membawa beberapa naskhah buku, risalah dan nota berhubung ‘mazhab’ berkenaan yang menceritakan kebaikan keluarga nabi.

“Bagaimanapun, risalah itu secara jelas menghina dan mengkafirkan sahabat Rasulullah, terutama Abu Bakar As-Siddiq dan Umar Al-Khattab,” katanya.

Berikutan itu, dia mula tidak senang dengan tindak-tanduk isterinya kerana sepanjang pengetahuannya, semua khalifah di kalangan Khulafaur Rasyidin dijanjikan syurga oleh Nabi Muhammad SAW kerana perjuangan dan pengorbanan mereka menyebarkan Islam.

Menurutnya, bekas isteri pernah mengajaknya mendengar ceramah disampaikan guru Syiah itu, namun dia mengelak kerana bimbang akidahnya terpesong. (Metro)

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular