KUALA LUMPUR:--- Projek perkhidmatan kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura yang merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Ekonomi (ETP) melalui Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI) masih dalam peringkat kajian sebelum ia dibawa ke Majlis Ekonomi Negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Idris Jala berkata, ia kemudiannya akan diputusan oleh Kabinet.
“Kita menjangkakan keputusan sama ada ia sesuai atau tidak dibina bergantung kepada keputusan Kabinet yang mana ia mungkin diputuskan selepas bulan Februari atau Mac,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis pelancaran buku ETP yang disempurnakankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.
Selain itu, menurut Idris, keputusan untuk kereta api diteruskan sehingga ke Singapura atau berhenti di Johor Bahru juga akan diputuskan oleh jemaah menteri kelak.
Mengulas lanjut katanya, dalam menuju ke arah negara maju menjelang tahun 2020, kerajaan telah mencadangkan projek bernilai RM1.2 trilion bagi dibangunkan dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Beliau berkata, pembabitan kerajaan hanya lapan peratus daripada pelaburan yang diperlukan itu dan kerajaan perlu menyediakan insentif pelaburan.
“Selebihnya swasta akan memainkan peranan di dalam pelaburan tersebut,” katanya.
Idris berkata, berdasarkan pemantauan kerajaan, hampir 45 peratus daripada jumlah pelaburan sebanyak AS$97 bilion (RM300.7 bilion) yang mewakili 53 Projek Penempatan Pekerjaan (EPP).
Antara EPP yang telah pun bermula ujarnya ialah pelaburan permulaan berjumlah RM214 juta daripada RM1.9 bilion oleh LFoundry untuk membina kemudahan fabrikasi wafer di Taman Teknologi Kulim, Kedah.