Pelawak terkenal negara Datuk Jamali Shadat atau nama sebenarnya Jamalai Shadat cedera dipukul dan dipijak dalam kejadian rompakan di banglonya di Kampung Sungai Pinang, Jalan Datuk Harun, Pulau Indah di Klang awal hari Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang ACP Md Jamil Ayob berkata dalam kejadian pukul 4 pagi itu, tiga lelaki yang dipercayai berasal dari
Indonesia memecah masuk dengan menggunakan alat pengumpil melalui pintu kaca di bahagian depan rumah Jamali, 63.

"Ketiga-tiga lelaki itu yang bersenjatakan parang kemudiannya masuk ke bilik pembantu rumah Datuk Jamali, mengikatnya dan kemudian mengarahkan dibawa ke bilik tuan rumah," katanya di Klang.

Beliau berkata pembantu rumah yang sudah bekerja selama
lima tahun dengan Jamali dan dikenali sebagai Jana kemudiannya mengetuk pintu bilik di mana beliau dan isterinya sedang tidur.

Katanya sebaik Jamali bangun dan membuka pintu, ketiga-tiga perompak itu menyerang serta bergelut dengan tuan rumah dan pada masa itulah dia diketuk di kepala dengan menggunakan besi pengumpil berkenaan.

Md Jamil berkata perompak terbabit kemudiannya menggeledah rumah itu dan mengambil wang tunai RM2,000 selain barang kemas bernilai RM7,000.

Katanya perompak berkenaan juga mengambil senapang patah yang sudah dimiliki Jamali sejak kira-kira 30 tahun lepas selain 30 butir peluru yang tersemat pada tali pinggang dan juga yang disimpan dalam kotak.

Perompak berkenaan kemudiannya dipercayai melarikan diri dengan menggunakan sebuah kenderaan yang sedang menungggu di luar rumah.

Md Jamil berkata perompak-perompak itu tidak bertopeng tetapi menutup muka mereka dengan menggunakan singlet.

Katanya Jamali yang cedera di kepala menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Rahimah dan dibenarkan pulang kira-kira 11 pagi tadi.