Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Rabu, 22 September 2010

'Arahan siasatan lanjut perkara biasa'

Anggota polis membawa suspek utama kes pembunuhan Sosilawati ke HKL, semalam.


KUALA LUMPUR: “Tiada apa perlu diperbesarkan kerana ia proses biasa yang dilalui polis dalam mana-mana kes sebelum ini,” kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Bakri Mohd Zinin mengulas tindakan Jabatan Peguam Negara mengembalikan semula kertas siasatan kes pembunuhan jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya serta tiga individu lain.

Kenyataan itu, sekali gus menjawab tuduhan pihak tertentu yang mempertikaikan kemampuan polis mendapat bukti kukuh kes berkenaan berikutan arahan Jabatan Peguam Negara itu.

“Pegawai penyiasat kes terbabit masih bertungkus-lumus menyiapkan laporan dan saya yakin ia mampu dilengkapkan tidak lama lagi,” kata Mohd Bakri melalui laman facebook PDRM.

Dalam satu kenyataan dikeluarkan semalam, Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Datuk Tun Abd Majid Tun Hamzah, berkata pihaknya meminta polis melengkapkan kertas siasatan itu sebelum menghantar semula kepada pihaknya kerana banyak lagi perkara yang memerlukan siasatan lebih lanjut.

Menurut Tun Abd Majid, Peguam Negara sudah memberi beberapa arahan tertentu untuk dijalankan dan polis turut diminta menyiasat kes lain yang dikatakan mempunyai kaitan dengan suspek dalam kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein kelmarin mengesahkan kertas siasatan itu sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara dan memberi jaminan laporan lengkap kes pembunuhan berprofil tinggi itu akan siap sepenuhnya dalam tempoh dua minggu.

SEBAHAGIAN daripada individu yang ditahan bagi membantu siasatan kes pembunuhan Sosilawati dibawa ke HKL untuk menjalani ujian DNA semalam.


Laporan itu termasuk laporan lengkap DNA yang kini giat dilakukan sekumpulan pakar forensik Jabatan Kimia bagi membolehkan pendakwaan dilakukan secepat mungkin.

Polis kini turut menyiasat empat kes lain yang membabitkan tiga kes orang hilang dan seorang wanita yang mati dibunuh di hadapan rumahnya di Banting yang dipercayai ada kaitan dengan dua peguam yang menjadi suspek utama kes pembunuhan Sosilawati.

Kes orang hilang itu membabitkan seorang kontraktor, Shafik Abdullah, 37, dan seorang rakannya yang dilaporkan hilang oleh keluarganya lima bulan lalu selepas dipercayai menemui peguam terbabit di ibu negara bagi urusan perniagaan.

Kehilangan Shafik dan rakannya itu dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Selain itu, peguam terbabit turut mempunyai kaitan dengan kes kehilangan saudagar batu permata, Allal Kathan Muthuraja, 34, dari Chennai, India, yang tiba di Malaysia pada 18 Januari lalu.

Allal yang mempunyai perniagaan restoran, hartanah dan barang kemas dilaporkan hilang selepas dijemput kedua-dua suspek terbabit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa, berkata pihaknya akan menghantar permohonan kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap empat daripada lapan suspek yang ditahan, hari ini.

Menurutnya, ini kerana tempoh reman keempat-empat suspek yang juga orang suruhan suspek utama itu akan tamat hari ini. Namun, permohonan untuk melanjutkan tempoh reman itu tidak membabitkan suspek utama iaitu peguam yang menggelarkan dirinya Datuk dan adik lelakinya.

“Suspek utama iaitu peguam dan adiknya tidak terbabit permohonan itu kerana tempoh tahanan reman mereka hanya akan tamat pada Sabtu ini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sosilawati, 47, bersama pemandu peribadinya, Kamaruddin Shamsuddin, 44; pegawai Bank CIMB, Noorhisham Mohammad, 38; dan peguam, Ahmad Kamil Abd. Karim, 32, dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu selepas ke Banting untuk urusan pembelian tanah.

Polis pada 13 September lalu mengesahkan empat daripada lapan suspek ditahan mengaku memukul keempat-empat mangsa sehingga mati, membakar mayat mereka sebelum abunya dibuang ke dalam sungai berdekatan Ladang Gadong di Banting, Selangor.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular