Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Isnin, 14 Januari 2013

'Scan' penyakit guna telefon bimbit, warga emas rugi RM3,500

ALOR GAJAH - Seorang warga emas rugi kira-kira RM3,500 selepas tiga barangan kemas miliknya dilarikan seorang wanita yang menyamar sebagai wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di Kampung Lendu Hilir, di sini, petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5 petang itu, mangsa, Che Rus Uda, 74, didatangi seorang wanita lingkungan usia 20-an yang memperkenalkan diri sebagai wakil JKM.

Menurutnya, ketika kejadian, dia yang tinggal sendirian sejak lebih 50 tahun lalu sedang menonton televisyen sebelum terdengar suara memberi salam berulang kali.

“Perbualan antara saya dengan wanita itu hanya dalam jarak jauh sebelum dia memaksa saya membuka pintu yang dikunci cucu yang keluar beberapa minit sebelum kejadian.

“Kemudian wanita yang memakai kemeja dan bertudung putih itu turun dari sebuah kereta menyatakan hendak melakukan pemeriksaan kesihatan sebelum mendesak saya membuka pintu rumah,” katanya.

Che Rus berkata, selepas wanita itu masuk ke dalam rumahnya, dia diarahkan membuka semua barang kemas yang dipakainya dan berbaring untuk melakukan pemeriksaan.

“Walaupun dalam keadaan terpinga-pinga, saya buka juga gelang tangan, rantai leher dan anting-anting dan meletakkannya di atas lipatan baju di ruang tamu.

“Melihat keadaan saya yang tidak selesa berbaring di atas lantai, wanita itu mengarahkan saya masuk ke dalam bilik sebelum dia 'scan' seluruh badan dengan menggunakan telefon bimbitnya sahaja. Kemudian dia keluar untuk menghubungi seseorang,” katanya.

Dia berkata, selesai ‘pemeriksaan’, wanita itu menghalangnya daripada bangun dengan alasan dia akan pitam jika berjalan.

“Sepanjang dalam bilik saya berasa tidak sedap hati memikirkan barangan kemas yang ditinggalkan di ruang tamu dan terus keluar dari bilik sebaik terdengar pintu besi di beranda rumah seolah-olah ditolak seseorang.

“Selepas itu, saya terkejut apabila melihat kesemua barang kemas sudah hilang malah kelibat wanita itu juga tiada,” katanya.

Katanya, sebelum kejadian, wanita berkenaan ada datang ke rumahnya, namun beredar selepas menyedari cucunya, Hussin Abu Hasan, 31, turut berada di rumah dan datang semula 30 minit kemudian.

“Saya difahamkan oleh jiran berdekatan, kereta dinaiki wanita itu sudah berlegar-legar di hadapan rumah saya kira-kira 30 minit sebelum kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan menasihatkan golongan warga emas khususnya supaya lebih berhati-hati.(sh)

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular