
KANGAR, 1 Nov (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir yang dipindahkan di Perlis meningkat sehingga petang ini seramai 1,096 mangsa dipindahkan ke sembilan pusat pemindahan, menurut jurucakap Bilik Gerakan Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis.
Kebanyakan mangsa ditempatkan di Sekolah Menengah Datuk Jaafar Hassan iaitu seramai 386 orang, Sekolah Kebangsaan Batu Bertangkup (383), Sekolah Kebangsaan Titi Tinggi (112), Maktab Rendah Sains Mara Beseri (69) dan Dewan Sivik Arau (60).
Lain-lain pusat menempatkan antara tujuh hingga 30 mangsa sehingga pukul 5.30 petang.
Hujan masih berterusan di Perlis.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Batu Bertangkup, Ali Ismail berkata lima buah kampung telah dilanda banjir sejak petang Sabtu lalu iaitu Kampung Sungai Buluh, Kampung Batu Bertangkup, Kampung Padang Melaka, Kampung Baru Panggas dan Kampung Guar Medan Gatal.
Mangsa di lima kampung ini mula dipindahkan pada 4.00 pagi Isnin apabila paras air di dua batang sungai ialau Sungai Buluh dan Sungai Batu Bertangkup mula melimpahi tebing.
"Penduduk diarahkan keluar dari rumah masing-masing berikutan jalan ke kampung-kampung tersebut telah dinaiki air di paras pinggang," kata Ali.
Menurutnya, 10 kenderaan pacuan empat roda dari Kelab Pacuan Empat Roda Perlis membantu memindahkan mangsa ke pusat pemindahan manakala Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam menggunakan bot memindahkan mangsa banjir.
JKM turut menyalurkan bantuan berupa tikar, selimut dan makanan kepada mangsa di pusat-pusat pemindahan.
Seorang warga emas, Rokiah Awang, 70, dari Kampung Batu Bertangkup terpaksa didukung bagi menyelamatkan diri setelah rumahnya yang didiami bersama seorang anak lelaki dan seorang cucu lelaki dinaiki air awal pagi.
"Air di rumah makcik naik paras dada, habis semua kelengkapan rumah seperti perabot ditenggelami air, " katanya.