
ALOR SETAR - Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata pemilihan exco kerajaan negeri adalah hak beliau tanpa perlu merujuk kepada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Azizan berkata, beliau telah menyerahkan senarai nama exco kerajaan negeri bagi 2012 kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah, yang juga Yang di-Pertuan Agong, dua hari lepas di Istana Negara.
"Walaupun Sultan Kedah menjadi Yang di-Pertuan Agong, segala pelantikan exco kerajaan negeri masih dalam bidang kuasa baginda, dan saya tak akan buat sebelum dapat perkenan baginda kerana ia tradisi kerajaan negeri.
"Biasanya, Tuanku Sultan akan perkenan, (terpulang kepada) baginda tolak yang tu (exco lama), dan bagi yang ni (exco baru), dan bila dapat surat, baru boleh bagi tau," katanya kepada pemberita malam ini.
Beliau berkata senarai exco dari Pejabat Sultan Kedah dijangka diterima Ahad ini.
Azizan juga berkata sebenarnya tidak timbul soal menolak pelantikan semula oleh dua Exco seperti yang dilaporkan kerana beliau belum mengeluarkan surat tawaran kepada mereka.
"Pasai apa dia nak hantar surat, saya tak buat tawaran lagi, kalau hantar surat, baru boleh tolak, surat tak hantar, tawaran nak tolak macam mana.