Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Jumaat, 30 Mac 2012

KDN haram 3 buku ajaran Syiah dari Indonesia



KUALA LUMPUR - Tiga buah buku iaitu Pengantar Ilmu-Ilmu Islam, Dialog Sunnah Syi'ah dan Tafsir Sufi Al-Fatihah terbitan Indonesia yang menyebarkan fahaman Syiah diharamkan penjualannya kerana bertentangan dengan pegangan umat Islam negara ini.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengharamkan buku tulisan Murtadha Muthahhari, A Syarafuddin Al-Musawi dan Jalaludin Rakhmat itu, awal bulan ini.

Menteri di Jabatan Perdana, Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, buku-buku itu akan dibawa kepada Seksyen Kawalan Media Bahagian Perancangan dan Penyelidikan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk dirujuk ke mesyuarat jawatankuasa berkaitan sebelum diserahkan kepada KDN untuk diwartakan.

"Kerajaan serius membendung penyebaran ajaran Syiah yang mana pada tahun lepas pihak berkuasa turut memberkas empat pengikut ajaran itu yang menganjurkan sambutan hari lahir Fatimah al-Zahra," katanya ketika menggulung Usul Menjunjung Kasih Titah Ucapan Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius berhubung penyebaran ajaran berkenaan di mana pada 25 Ogos tahun lepas Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) telah merampas 35,000 buku dan risalah mengenainya yang diharamkan KDN setelah menyerbu sebuah rumah di Taman Paya Dalam, yang dipercayai menjadi markas penganut fahaman itu.

Jamil Khir berkata, pelbagai langkah diambil pihak berkuasa bagi membendung penyebaran fahaman itu termasuk menyebarluaskan fatwa berhubung pengharaman syiah kepada masyarakat melalui ceramah serta media cetak dan elektronik.

"Kerajaan juga turut memantau penyebaran ajaran sesat di negara ini termasuk yang sudah diharamkan dan akan mengambil tindakan sekiranya kembali aktif," katanya.

Menyentuh mengenai isu murtad, Jamil Khir berkata, kerajaan telah dan sentiasa menangani isu murtad menerusi mekanisme perundangan yang sedia ada dan akan diperkukuhkan termasuk mengambil kira untuk mewujudkan Akta Murtad.

Katanya, salah satu langkah proaktif kerajaan dalam menangani isu murtad khususnya mengawal perkembangan ajaran bukan Islam kepada orang Islam di Malaysia dari segi perundangan ialah melalui penggubalan undang-undang kawalan dan sekatan pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam.

"Tindakan ini adalah berdasarkan kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa undang-undang negeri dan Persekutuan boleh digubal untuk mengawal pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam, " katanya.

Selain itu, beliau berkata beberapa negeri telah mempunyai undang-undang yang dinamakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam yang diwujudkan untuk mengawal dan menyekat pengembangan agama bukan Islam di kalangan orang Islam demi menjamin kehormatan dan kesucian Islam.

"Negeri-negeri yang telah menguatkuasakan Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan agama bukan Islam kepada orang Islam ialah Terengganu, Kelantan, Selangor, Melaka, Kedah, Pahang, Johor, Negeri Sembilan dan Perlis," katanya.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular