Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Selasa, 8 September 2009

Mari Hayati Hadis2 Pilihan ini


Marilah sama-sama kita menghayati dan mengerjakan sebagaimana yang terkadung dalam hadis-hadis pilihan kali ini.
Mudahan amalan kita ini diterima oleh Allah


Tajuk :
Menghina Orang Lain

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :” Sesiapa yang menolak kata-kata buruk terhadap kehormatan diri saudaranya, nescaya Allah menolak api neraka daripada mengenainya pada hari kiamat.”


Hadith riwayat Ahmad dan Tirmizi


Huraian

i) Memperli, memperolok-olok, mengejek, menghina, memperleceh, memperlekeh, memanggil dengan gelaran yang memalukan, menyatakan kekurangan orang secara terang-terangan dan sebagainya adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah.
ii) Sesiapa yang mencaci orang lain sebenarnya dia mencaci dirinya sendiri. Sebaiknya selaku umat Islam kita hendaklah hidup saling hormat-menghormati, bantu-membantu dan tolong-menolong. Justeru, apabila mendengar celaan, kita sepatutnya bertindak menyembunyikan keburukan tersebut sekalipun seseorang yang dicela itu memang telah melakukan sesuatu dosa yang mengaibkan kerana kemungkinan orang itu telah bertaubat dan taubatnya diterima oleh Allah. Sesungguhnya sesiapa yang berbuat demikian ganjarannya adalah amat besar di akhirat kelak.

---------------------------------------------------------------------------------
Tajuk :
Mereka Bukan Umatku!

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesiapa yang tidak mematuhi Imam dan memencilkan diri dari jamaah lalu dia mati, maka matinya seperti mati jahiliyah. Sesiapa yang mati terbunuh di bawah bendera kefanatikan, bermusuhan dan berperang kerana fanatik kesukuan (kebangsaan), dia bukanlah umatku. Dan sesiapa yang keluar dari umatku lalu menyerang umatku, membunuh orang-orang baik dan orang-orang jahat tanpa mempedulikan apakah dia orang mukmin atau tidak dan tanpa mengendahkan janji yang telah dibuatnya, orang itu juga bukan umatku.”
(Muslim)

---------------------------------------------------------------------------------
Tajuk :
Menjauhi Syirik Dalam Segala Bentuknya

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah?" Baginda s.a.w menjawab: "( Syirik yangkecil itu) ialah riak - Allah Taala akan berfirman pada hari Kiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: " Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dahulu ( untuk menunjukan kepada meraka ), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"

Mahmud bin Labid r.a


Huraian

Rasulullah s.a.w bersabda: " Sesungguhnya perkara yang sangat-sangat aku takuti akibat buruknya menimpa kamu ialah syirik yang kecil." Sahabat-sahabat Baginda bertanya: " Apa dia syirik yang kecil itu ya Rasulullah?" Baginda s.a.w menjawab: "( Syirik yangkecil itu) ialah riak - Allah Taala akan berfirman pada hari Kiamat apabila manusia datang dengan amal masing-masing: " Pergilah kepada mereka yang kamu melakukan riak di dunia dahulu ( untuk menunjukan kepada meraka ), kemudian lihatlah, adakah kamu akan dapati sebarang balasan di sisi mereka?"
---------------------------------------------------------------------------------
Tajuk :
Meratanya Kebakhilan; Tanda Hampir Kiamat

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Tanda hari kiamat semakin dekat, dihapuskan (dicabut) ilmu (agama), lalu timbul fitnah (bala bencana atau kekacuan). Di mana-mana dijumpai kebakhilan serta banyak pembunuhan.”
(Muslim)

---------------------------------------------------------------------------------
Tajuk :
Rahmat Terhalang Kerana Permusuhan

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Seluruh amal manusia dihadapkan kepada Allah S.W.T dalam sejumaat (seminggu) dua kali. Iaitu pada hari Isnin dan Khamis. Maka diampuni Allah dosa setiap hamba-Nya yang mukmin kecuali orang yang bermusuhan. Maka dikatakan:”Tinggalkanlah kedua orang ini dahulu sampai mereka berdamai.”
(Muslim)

---------------------------------------------------------------------------------

Tajuk :
Berbuat Baik Itu Sedekah

Hadith :
Dari Abu Syaibah r.a dari nabi s.a.w, sabdanya:”Setiap perbuatan baik (makruf) adalah sedekah.”

(Muslim)
--------------------------------------------------------------------------------

Tajuk :
Syariat Islam

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda: "Demi Tuhan yang diri Muhammad dalam kekuasaan-Nya! Kalaulah Nabi Musa muncul kepada kamu, lalu kamu mengikutnya dan meninggalkan daku, sudah tentu kamu akan sesat dari jalan yang betul; dan kalaulah Nabi Musa masih hidup lagi dan berada dalam masa aku menjadi Nabi, sudah tentu ia menurutku."

Jabir r.a
------------------------------------------------------------------------------

Tajuk :
Peperangan Antara Dua Kuasa Besar
Hadith :

Dari Abu Hurairah r.a katanya Rasulullah s.a.w bersabda:”Belum akan terjadi kiamat sebelum dua golongan besar saling memerangai antara satu sama lain, sedangkan korban di kedua belah pihak sangat besar pula. Dan alasan kedua-duanya hanyalah satu.

-----------------------------------------------------------------------------

Tajuk :
Larangan Membakar Makhluk Allah

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Saya mendengar Rasulullah saw. bersabda:”Seekor semut menyengat salah seorang nabi. Nabi itu pun menyuruh mencari sarang semut itu lalu dibakar. Allah lalu menurunkan wahyu kepada nabi itu,”Sesungguhnya hanya seekor semut yang menyengat engkau, dan engkau bakar salah satu umat yang bertasbih kepada Tuhan.”

(Bukhari dan Muslim)
-------------------------------------------------------------------------------

Tajuk :
Nescaya Tersiksa !

Hadith :
Dari Aisyah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Siapa yang dihisab (diperiksa) pada hari kiamat dia akan tersiksa” Aisyah bertanya:”Bukankah Allah Azza Wajalla telah berfirman , “Mereka akan diperiksa dengan pemeriksaan yang mudah” (al-Insyiqaq:8)” Jawab baginda:”Itu belum pemeriksaan, tetapi baru sekadar mengemukakan bukti-bukti.” Orang yang diperiksa dengan teliti nescaya tersiksa.”

(Muslim)

Huraian

Seperti yang dapat dilihat, peristiwa-peristiwa yang akan berlaku selepas kematian telah dijelaskan seolah-olah ia telah pun berlaku dan telah berlalu di dalam al-Quran. Berkumpulnya umat Islam dari berbagai bangsa dan bahasa, yang berlainan rupa dan kulit di suatu tempat (Makkah) adalah menjadi gambaran berkumpulnya manusia di Padang Makhsyar di akhirat kelak untuk menerima hisab bagi setiap amalan yang dilakukan di dunia. Hisab di akhirat adalah mudah dan ringan sekiranya seseorang itu mati dalam keadaan beriman dan bertaqwa kepada Allah dan akan menjadi sukar dan payah bagi orang-orang yang banyak melakukan dosa dan kemungkaran apatah lagi jika mereka yang mati dalam keadaan kufur kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan selepas dihisab. Oleh yang demikian, sebelum kita dihisab di akhirat kelak hisabkanlah diri kita terlebih dahulu dan mohonlah keampunan daripada Allah S.W.T kerana “tidak akan hilang lenyap dari pengetahuan Tuhanmu sesuatu dari sehalus-halus atau seringan-ringan yang ada di bumi atau di langit, dan tidak ada yang lebih kecil dari itu dan tidak ada yang lebih besar, melainkan semuanya tertulis di dalam Kitab yang terang nyata.(Yunus:61). Mudah-mudahan kita termasuk golongan yang diberi kemudahan oleh Allah pada hari kiamat kelak.

------------------------------------------------------------------------

Tajuk :
Kawasan Larangan Dajjal

Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a dari Nabi saw. sabdanya,:”Semua negeri akan diinjak oleh Dajjal, melainkan Mekah dan Madinah. Di mana setiap jalan masuk ke dalam kedua kota itu dijaga oleh malaikat dengan berbaris. Kemudian Madinah bergoncang tiga kali goncangan, maka ketika itu Allah SWT mengeluarkan semua orang kafir dan orang munafik.

-------------------------------------------------------------------------

Tajuk :
Tiga Jenis Musuh Allah

Hadith :
Fari Abu Hurairah r.a, dari nabi saw., sabdanya:”Allah berfirman:”Ada tiga jenis, Aku menjadi musuh mereka pada hari kiamat:
i)Orang yang memberi kerana-Ku, kemudian tidak diakuinya
ii)Orang yang menjual orang yang merdeka, kemudian dimakannya wang hasil jualan tersebut.
iii)Orang yang mengupah kepada pekerja lalu disuruh sempurnakan kerja itu tapi tidak dibayarnya upah itu.”
(Bukhari)

-----------------------------------------------------------------------------------

Tajuk :
Sifat Pemalu Rasulullah S.a.w

Hadith :
Dari Abu Said al-Khudri r.a katanya:”Rasulullah s.a.w adalah seorang yang sangat pemalu, lebih pemalu dari gadis pingitan. Apabila baginda tidak menyenangi sesuatu, kami dapat mengetahuinya dari wajah baginda.”

(Muslim)


Huraian

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Laa ilaha illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang dari iman.”(al- Baihaqi). Di dalam perjalanan manusia sebagai hamba untuk mendekatkan diri kepada-Nya, ‘rasa malu’ merupakan tangga yang pertama. Maka, masih sangat jauh sebenarnya kita daripada kewujudan rasa cinta kepada Allah. Rasulullah sekalipun mempunyai rasa malu terhadap Allah SWT. Ia terserlah dalam kisah Mi'raj baginda iaitu di saat Rasulullah menerima perintah secara langsung agar umatnya mengerjakan solat. Di peringkat awalnya, Allah memerintahkan solat sebanyak 50 kali dalam sehari. Baginda menyanggupinya, namun nabi dan Rasul lain yang ditemui dalam perjalanan mikraj tersebut menasihati bahawa tugas itu terlalu berat bagi umat Muhammad. Lantas baginda meminta keringanan sehingga bilangan solat dikurangkan kepada lima kali sehari. Saat itu, baginda diingatkan sekali lagi bahawa solat lima kali sehari pun masih terlampau berat. Namun, baginda berasa amat malu untuk kembali meminta keringanan daripada Allah SWT. Inilah contoh sifat malu yang ada pada diri baginda. Malu untuk mengurangi nilai pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya. Namun kita selaku umatnya tidak pula mempunyai rasa malu mengabaikan perintah solat tersebut dan juga ibadah-ibadah yang lain? Begitulah manusia, lazimnya hanya merasa malu untuk urusan duniawi di hadapan manusia, bukan urusan keakhiratan di hadapan Tuhan. Kita tidak merasa malu dengan dosa yang berbukit yang pernah kita lakukan. Malah mungkin tidak pernah terdetik rasa enggan kita untuk bertemu Allah lantaran merasa malu di atas segala kejahatan yang dilakukan yang tak pernah luput dari pernglihatan Nya? Sesungguhnya kita benar-benar tidak tahu malu. Abdullah Ibn Mas’ud r.a meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: “Orang yang malu kepada Allah dengan sepenuh malu adalah orang yang menjaga kepalanya dari isinya, menjaga perutnya dari segala rezeki tidak halal, selalu mengingati kematian, meninggalkan kemewahan dunia dan menjadikan perbuatan akhirat sebagai hal yang lebih utama. Sesiapa yang melakukan semua itu, maka ia telah malu kepada Allah dengan sepenuh malu”.

--------------------------------------------------------------------------------
Tajuk :
Bertaubatlah!

Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Wahai manusia! Bertaubatlah kamu semua kepada Allah. Sesungguhnya aku bertaubat kepadnya seratus kali setiap hari.”
(Muslim)
------------------------------------------------------------------------------
Tajuk :
Dijauhkan Dari Neraka 70 000 Musim

Hadith :
Dari Abu Sa’id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Setiap orang yang puasa satu hari kerana Allah, maka Allah akan menjauhkannya dari neraka sejauh 70 000 musim.”
(Muslim)

Huraian
Dilihat secara terperinci, kita dapati orang yang berpuasa itu dapat dibahagikan kepada tiga golongan iaitu:
i) orang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia.
ii) orang yang berpuasa kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah.
iii) orang yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada Allah dan manusia.

Orang yang berpuasa kerana malu kepada Allah dan manusia, puasa mereka adalah berdasarkan kepada perasaan sedar dan insaf kepada perintah Allah S.W.T yang mewajibkan berpuasa. Golongan ini akan sentiasa berhati-hati dan sentiasa menjaga puasanya daripada perkara yang boleh membatalkan puasa. Oleh kerana itu, di mana-mana tempat sekali pun, sama ada di tempat tersorok atau tidak, mereka tetap memelihara puasanya. Golongan ini sedar bahawa Allah tetap melihat perbuatan mereka walaupun mereka tidak dapat melihat Allah.

Tentang golongan kedua pula, mereka ini berpuasa semata-mata kerana malu kepada manusia tetapi tidak malu kepada Allah. Lantaran itu, apabila berada jauh daripada pandangan manusia, tanpa segan-silu mereka meninggalkan puasa. Golongan ini berpuasa bukan kerana taat dan patuh kepada perintah Allah tetapi kerana malu kepada manusia lain yang berpuasa. Biasanya orang yang seperti ini berpuasa kerana hendak menunjuk-nunjuk atau riak. Mereka tidak mempunyai sifat amanah kepada Allah mahupun pada diri sendiri.

Golongan ketiga ialah mereka yang langsung tidak berpuasa kerana tidak malu kepada manusia apatah lagi kepada Allah. Golongan ini dianggap paling hina di sisi Allah. Bahkan ada ketikanya mereka ini sanggup mengaku sebagai orang bukan Islam agar terlepas daripada hukuman dan tindakan pihak berkuasa. Mereka tidak sedar bahawa pengakuan itu boleh membatalkan syahadah.

Menyedari hakikat ini, renungkanlah. Dalam golongan manakah kita berada?

Rujukan:
http://ii.islam.gov.my/hadith/hadith.asp?whichpage=1&IDstate=&pagesize=100&sqlQuery=SELECT+*+from+tblhadith+WHERE+siar_ID+%3D+%2701%27+AND+tarikh+%3C+%272009-09-08%27+ORDER+BY+tarikh+DESC

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular