KUANTAN: Tindakan seorang majikan memasang perakam video tersembunyi di rumahnya selepas curiga melihat perubahan sikap dua anaknya yang murung dan sering menangis kelaparan ketika pulang dari bekerja, membongkar kekejaman orang gajinya, baru -baru ini.
Hasil rakaman itu, mendedahkan aksi orang gaji berkenaan yang mendodoi bayi itu menggunakan kaki, memukulnya dengan bantal, membiarkan anaknya menangis di atas lantai dan mendukung seperti mengangkat barang.
Lebih kejam pembantu rumah tidak berperikemanusiaan itu hanya memberikan botol susu kosong kepada bayi yang menangis kelaparan di atas lantai sedangkan dia bersenang-lenang di atas sofa menonton televisyen.
(CCTV ini membuktikan tindakan yang dilakukan oleh TKW Indonesia sebagai pembantu rumah di Malaysia -video ini dalam kejadian yang sama tetapi bukan dalam kes ini)
Tidak cukup perlakuan jelik itu, abang mangsa yang berusia dua tahun juga dibiarkan 'mengemis' dan merayu meminta makanan daripadanya yang ketika itu menjamu selera sambil menonton televisyen.
Namun, apabila ibu bapa mangsa pulang ke rumah selepas waktu kerja, pembantu rumah bertopengkan haiwan itu berpura-pura menjadi seorang penyayang seolah-olah dia menjalankan tanggungjawab dengan sempurna.
Kandungan video 'lakonan' pembantu rumah dari Acheh, Indonesia berusia 23 tahun itu terhadap dua kanak-kanak berkenaan didedahkan seorang suri rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Salmiah, 32, yang hadir ke pejabat Harian Metro di sini, semalam.
Mendedahkan perbuatan tidak berperikemanusiaan itu, Salmiah berkata kejadian itu berlaku di rumah adik perempuannya berusia 28 tahun di Bangi, Selangor pada 31 Disember lalu.
Katanya, ibu kanak-kanak berkenaan terdetik merakam rutin harian pembantu rumah terbabit selepas mendapati anak lelakinya berusia dua tahun sering murung dan menangis setiap petang sambil meminta makanan kepadanya ketika pulang ke rumah.
"Dia pelik apabila mendapati kelakuan anaknya itu berubah menjadi pendiam dan sugul seolah memendam sesuatu dan sering menangis meminta makanan ketika dia pulang dari tempat kerja pada sebelah petang," katanya.
Katanya, tidak cukup dengan itu, kanak-kanak berkenaan memberitahu yang pembantu rumah dikenali dengan panggilan Mai pernah menyepaknya beberapa kali.
"Tapi bila adik saya bertanya kepada pembantu rumah yang baru enam bulan diambil bekerja itu, dia menafikan perbuatan berkenaan dan memaklumkan menjaga kanak-kanak terbabit seperti anak sendiri," katanya.
Katanya, disebabkan rasa syak mendalam selepas kira-kira lima bulan keadaan itu berlarutan dia memasang kamera tersembunyi untuk mengintai rutin harian wanita terbabit.
"Alangkah terkejut apabila mendapati pembantu rumah itu melayan anaknya seperti haiwan dengan tidak memberi makan, membiarkan menangis di atas lantai, malah lebih mengejutkan apabila wanita terbabit mendodoikan bayi berusia empat bulan itu dengan kaki dan memukulnya menggunakan bantal ketika menidurkannya.
"Rakaman itu turut menunjukkan pembantu rumah terbabit asyik menonton televisyen seharian dengan terkangkang di atas sofa dan jika kanak-kanak berkenaan menangis dia akan memarahi mereka," katanya memaklumkan adiknya menggaji pembantu rumah itu RM450 sebulan.
Salmiah berkata, adiknya mengambil pembantu rumah terbabit dengan membayar RM4,500 daripada seorang ejen di bandar ini kira-kira enam bulan lalu.
"Namun, selepas menunjukkan rakaman berkenaan kepada pembantu rumah itu, dia mengaku melakukan kekejaman itu tanpa memberi alasan munasabah dan hanya mendiamkan diri," katanya.
Katanya, adiknya yang masih trauma dengan kejadian menimpa dua anaknya itu sudah menyerahkan pembantu rumah terbabit kepada ejennya yang berjanji memulangkan semua perbelanjaan dikeluarkan untuk mendapatkan wanita itu.
"Dia juga memaklumkan kepada saya akan menghantar kedua-dua anaknya itu membuat pemeriksaan doktor sebelum tindakan seterusnya diambil," katanya.
Rujukan:
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/KNM371M/Article/index_html