"Kali ini Pembantu rumah bakar rumah majikan sebelum lari"
KUALA TERENGGANU 6 Jan — Seorang pembantu rumah warga Indonesia bertindak membakar rumah majikannya sebelum melarikan diri bersama wang tunai lebih RM500 dan dua buah komputer dalam satu kejadian di Taman Murni Indah, Telaga Daing dekat sini pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi, pembantu rumah yang baru berusia 14 tahun dan berasal dari Palembang Indonesia itu dipercayai membakar bilik tidur anak majikannya dan bahagian dapur rumah tersebut sebelum melarikan diri melalui pintu belakang.
Bagaimanpun dia yang dikenali sebagai Dinda, berjaya ditahan oleh adik majikannya Zulkarnain Abd Wahab, 35, di Stesen Bas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) lebih sejam kemudian ketika cuba melarikan diri dengan membeli tiket bas ke Kuala Lumpur.
Majikannya Intan Zunaidah Abdul Wahab, 40, berkata beliau tidak menyangka pembantu rumah yang dilayan seperti anak sendiri itu sanggup berbuat demikian memandangkan sebelum ini hubungan mereka tidak pernah mempunyai masalah.
"Saya terkejut apabila dihubungi oleh suami pagi tadi mengatakan rumah teres kami terbakar dan perkara pertama yang saya lakukan ialah meminta mereka memecah pintu rumah kerana pembantu rumah kami berada di dalam.
— LAGI AMAH-BAKAR 2 KUALA TERENGGANU "Bertambah terkejut apabila saya dimaklumkan dia tiada dalam rumah ketika jiran berjaya masuk ke dalam rumah untuk memadamkan kebakaran dan dipercayai telah melarikan diri setelah membakar rumah kami,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.
Ketika kejadian, beliau berada di sekolah anak perempuan bongsunya yang berusia 13 tahun di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II untuk menghadiri program penyampaian hadiah kecemerlangan UPSR, manakala suaminya Mazli Mohamed, 49, berada di tempat kerja.
Menurut Intan Zunaidah, pembantu rumah itu pada asalnya diupah oleh rakan adiknya, namun disebabkan terlalu muda, dia telah diserahkan kepada Zulkarnain sebelum proses penghantaran semula ke Indonesia dilakukan oleh ejen.
"Semasa dua minggu duduk dengan adik saya, dia pernah buat hal dan cuba melarikan diri setelah mencuri wang tunai RM7,000 menyebabkan adik saya menyerahkannya kepada saya Disember lepas sebelum ejen mengambilnya.
"Sepanjang sebulan duduk dengan bersama, kami sekeluarga melayannya dengan baik, malah saya menganggapnya sebagai anak sendiri kerana umurnya tidak jauh beza daripada anak bongsu saya, malah mereka juga tidur bersama,” katanya.
Katanya kejadian itu menyebabkan barang-barang dalam bilik tidur anaknya termasuk sijil-sijil persekolahan habis terbakar selain jelaga hitam yang memenuhi rumahnya.
"Paling saya sedih kerana dia sanggup mencuri wang anak bongsu yang dikumpul sejak darjah satu lagi hasil kecemerlangannya dalam pelajaran,” katanya.
Pembantu pembantu rumah itu kemudian dibawa menaiki kereta peronda ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.
Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Kamal Md Tan berkata ketika sampai di tempat kejadian kira-kira 10.52 pagi, kebakaran telah pun berjaya dipadamkan oleh orang awam.
"Tiga jentera kereta bomba bersama tiga pegawai dan 22 angota telah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan dan sebaik tiba di tempat kejadian api telah berjaya dikawal dan kita hanya membantu memadamkan sisa-sisa bara.
"Kebakaran berpunca dari bilik tidur dan bahagian dapur yang dipercayai sengaja dilakukan dan jumlah kerugian dianggar bernilai RM115,000,” katanya.
— BERNAMA