
KOTA MARUDU:-- Seramai 2,279 orang dari 19 buah kampung di daerah Kota Marudu dan Matunggong dipindahkan ke 10 pusat pemindahan sementara ekoran banjir selepas hujan berterusan selama lima hari.
Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, masalah banjir di kawasan itu dapat diatasi sekiranya Pelan Induk Tindakan Tebatan Banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dilaksanakan.
"Penyelesaian jangka panjang kepada masalah banjir telah dikemukakan kepada kerajaan negeri dan pusat dengan cadangan pelan induk itu membabitkan kos minima RM500 juta,” katanya kepada pemberita semasa melawat mangsa banjir hari ini.
Daripada jumlah itu, RM300 juta diletakkan di bawah peruntukan Rancangan Malaysia ke-10 namum peruntukan yang diluluskan setakat ini jauh lebih rendah, kata Ongikili yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.
Katanya pelan induk itu mampu menjimatkan kos kerugian tahunan selama 10 akibat banjir.
Banjir di Kota Marudu mengakibatkan kerosakan jalan, jambatan, perparitan, tanaman dan bantuan kebajikan bernilai kira-kira RM50 juta setiap tahun.
Semasa lawatan itu, Ongkili bersama wakil rakyat Tandek, Anita Baranting dan wakil rakyat Matunggong, Sarapin Magana, menyampaikan bantuan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan berkenaan. - Bernama