Cik Rosnah Ahmad berkongsi kegembiraan bersama suaminya, Encik Azmi Mohd Ali, sebaik saja menerima surat daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) tentang permohonan beliau untuk mendapatkan kerakyatan Singapura diluluskan.SINGAPURA - KEGUSARAN hidup seperti orang asing di negeri sendiri selama 32 tahun berubah hanya dalam sehari.
Cik Rosnah Ahmad, yang selama ini memegang kad pengenalan biru atau berstatus penduduk tetap, terpaku apabila mendapat surat daripada Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) beberapa hari lalu.
Ibu lima anak itu, termasuk tiga daripada perkahwinan pertamanya, antara percaya dengan tidak apabila membaca baris-baris ayat yang berbunyi:
'Tahniah. Permohonan anda bagi Kerakyatan Singapura telah diluluskan'.
Sejajar dengan itu, beliau diarahkan agar menghadiri sesi angkat sumpah di Unit Kerakyatan ICA pada 31 Januari ini.
Kelulusan permohonannya itu bermakna beliau akan diberi kad pengenalan merah dan layak menikmati faedah dan keistimewaan sebagai warga Singapura.
'Syukur alhamdulillah kerana saya akhirnya menjadi rakyat Singapura!' Ketika ditemui semalam
sambil menjeling ke arah suaminya, Encik Azmi Mohd Ali, 41 tahun.
Beliau, yang dilahirkan di sebuah rumah di Chapel Road, dekat Katong, berbapakan warga Singapura dan ibunya pula kelahiran Melaka.
Masalah yang membelenggu Cik Rosnah itu pertama kali dilaporkan media pada 28 Disember lalu.
Dalam laporan itu, beliau mendakwa kebingungan kerana rayuan berulang kali dan permohonan mendapatkan kerakyatan Singapura pada 5 Mei lalu tidak membuahkan sebarang hasil.
ICA yang dihubungi ketika itu menyatakan bahawa kerakyatan Singapura adalah suatu keistimewaan yang tidak boleh diberi sewenang-wenangnya, dan setiap permohonan menjadi warga Singapura dinilai berdasarkan merit pemohon.
Mengenai rancangan masa terdekat, Cik Rosnah, yang ditemui di flat sewa satu bilik di North Bridge Road, berkata 'macam-macam pelan berlegar di kepala saya'.
Ini termasuklah berkunjung ke pejabat Lembaga Tabung Simpanan Pekerja (CPF) untuk meneliti kelayakan menikmati ganjaran yang diberikan kepada warga Singapura.
'Saya nak cari kerja untuk kumpul CPF. Saya juga dah lama ingin menghirup angin di luar negara kerana selama ini saya hanya terperuk di Singapura kerana tak ada pasport.
