
SINGAPURA - SATU lagi diploma bidang pengajian Islam peringkat tinggi akan dilancarkan Jamiyah hari ini.
Diploma Syariah Islamiyah itu adalah hasil kerjasama antara badan tersebut dengan Kolej Universiti Islam Melaka (Kuim).
Ia akan dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka yang juga Canselor Kuim, Datuk Seri (Dr) Haji Mohd Ali Mohd Rustam, kata satu kenyataan Jamiyah semalam.
Ini merupakan inisiatif pertama Pusat Pendidikan Jamiyah (JEC) di bawah pengelolaan Jabatan Pendidikan Jamiyah untuk menjana pendidikan agama Islam yang lebih luas dengan mengambil kira perkembangan dan kehendak semasa.
Selama lebih beberapa dekad, JEC telah menawarkan pengajian Islam di peringkat rendah hingga remaja.
Kini ia menawarkan program diploma dengan sebuah institusi dari Melaka, yang dipimpin Ketua Menteri Melaka sendiri.
Majlis sekitar 2.30 petang itu juga merupakan suatu titik bersejarah kerana ia akan disaksikan oleh kepimpinan tertinggi dan para akademik kanan Kuim, termasuk Naib Canselor merangkap Ketua Eksekutif Kuim, Profesor Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff Haji Hashim; Timbalan Naib Canselor Kuim, Profesor Madya Dr Baharuddin Haji Puteh; dan Pengarah Hal Ehwal Akademik Kuim, Encik Noor Jefri.
Mereka dijangka menyaksikan penyerahan surat kemasukan ke kursus Diploma Syariah Islamiyah tahun ini kepada 25 bakal pelajar kohort pertama dan penyerahan surat pelantikan bagi tujuh bakal pensyarah yang akan disampaikan sendiri oleh Datuk Seri Haji Mohd Ali.
Para pelajar juga akan diberi komputer riba percuma dan buku rujukan Fiqhul Manhaji untuk kemudahan pembelajaran mengikuti kursus itu.
Sementara itu, JEC masih membuka pendaftaran kepada mereka yang berminat mengikuti kohort pertama program tersebut secara sepenuh masa sebelum Isnin ini.
Program diploma itu akan mengambil masa dua tahun dan diadakan dalam bahasa Melayu dan Arab.
Kursus intensif bahasa Arab juga akan dijalankan serentak bagi mereka yang tidak mempunyai asas dalam bahasa tersebut.
JEC juga menawarkan program diploma itu secara sambilan, mengambil masa selama tiga tahun, bermula pada 5 Mac ini.
