
KUALA KRAI - Keseronokan seorang murid Tahun Satu sebuah sekolah kebangsaan di Dewan Undangan Negeri (Dun) Mengkebang, dekat sini, untuk belajar pada hari ketiga persekolahan, semalam, terbantut selepas dia terpaksa dibawa pulang untuk rawatan kerana sakit kudis yang teruk.
Sharifa Sofea Hanim Azman, 7, dibawa pulang ibunya, Che Ragayah Che Yaacob setelah dinasihatkan seorang guru kelas anaknya supaya mendapatkan rawatan lanjut.
Che Ragayah, 31, berkata, dia membawa anak sulungnya itu ke klinik swasta untuk rawatan selepas muka dan badannya mula berkudis kecil, Isnin lalu, namun keadaannya bertambah teruk.
“Saya juga ada dapatkan air penawar tetapi kudis makin banyak terutama pada muka anak saya. Saya akan bawa dia jumpa pakar kulit di sebuah klinik di Pasir Mas,” katanya, di sini, semalam.
Che Ragayah berkata, disebabkan penyakit itu, anaknya yang sulung daripada dua beradik itu juga sering terjaga ketika tidur malam kerana simptom gatal dan pedih.
“Selain muka, kudis kecil juga tumbuh di badan seperti bawah ketiak dan atas belakang. Adik dia pun kena tetapi tak banyak,” katanya yang mempunyai seorang lagi anak, Muhammad Syakir Irfan, 6, juga murid Pra Sekolah di sekolah sama.
“Dia beria-ia sangat nak pergi sekolah kerana katanya seronok belajar di Tahun Satu dan memang pun saya rancang nak bawa dia pergi ke klinik di Pasir Mas selepas waktu sekolah,” katanya.
Menurutnya, dia percaya penyakit kudis di badan kedua anaknya itu berpunca daripada seekor anak kucing bernama Muching yang baru dibawa pulang oleh suaminya sejak dua minggu lalu.
“Saya nak buang rasa tak sampai hati sebab mereka berdua sayang sangat Muching sampai tidur pun bersama. Suami pula kata kucing bukan punca kudis kerana kami berdua tak kena,” katanya.
