
SINGAPURA - POLIS telah menyifatkan kes melibatkan perniagaan menerusi rangkaian sosial Facebook Chique Gelerie sebagai penipuan.
Dalam satu kenyataan e-mel kepada media Singapura, polis turut mengesahkan para mangsa telah membuat laporan mengenai penipuan penjualan barangan berjenama daripada Chique Gelerie itu.
'Kes-kes ini telah diklasifikasikan sebagai penipuan mengikut Seksyen 420 di bawah Kanun Keseksaan. Siasatan sedang berjalan,' ujar polis.
Seorang peguam, Encik Abdul Rohim Sarip, berkata penipuan di bawah Seksyen 420 melibatkan kes lebih serius yang membabitkan jumlah wang besar sehingga ribuan dolar.
'Kes ini melibatkan lebih $100,000 dan jumlah besar anggota masyarakat awam. Mengikut Seksyen 420, jika sabit kesalahan, ia boleh membawa kepada hukuman maksimum penjara 10 tahun,' kata beliau.
Difahamkan lebih 20 laporan polis sudah dibuat terhadap Cik Hamidah Othman, yang mengendalikan Chique Gelerie. Beliau dipercayai menyamar sebagai rakan peniaga Cik Nurazlin Abdullah, pemilik perniagaan Chique Gele di Facebook.
Chique Gelerie, yang menjual beg berjenama, dipercayai tidak memulangkan sehingga $120,000 kepada lebih 400 pelanggan selepas gagal mengirim tempahan mereka. Difahamkan hanya lebih $10,000 dipulangkan.
Cik Hamidah tidak dapat dihubungi sehingga sekarang. Namun, pemeriksaan media ini menunjukkan beliau telah memohon maaf menerusi mesej peribadi Facebook kepada beberapa anggota kumpulan CG IOU List, kumpulan Facebook yang ditubuhkan mereka yang didakwa tertipu.
Dalam mesej ringkas itu, Cik Hamidah memohon maaf kerana tidak menjawab panggilan telefon, SMS dan mesej peribadi Facebook.
'Ini adalah saat di mana saya harus menerima hakikatnya yang perniagaan ini gagal. Ini adalah risiko yang saya hadapi, berdepan dengan kerugian besar dalam perniagaan ini,' kata beliau.
Cik Hamidah, yang dipercayai bekas jururawat kajian, turut mengaku tidak telus kepada pelanggan.
'Disebabkan masalah bekalan, harga penjualan yang turun naik dari masa ke masa, saya sehingga terpaksa membayar lebih kepada pembekal lain atau pembekal setempat bagi mendapatkan tempahan anda.
Beliau memberi jaminan akan bertanggungjawab dan membayar wang yang dihutangnya kepada pelanggan.
