Seorang petugas menunjukkan telefon pintar keluaran tempatan yang buat penampilan pertama di BruXpo.BANDAR SERI BEGAWAN - Sebuah syarikat tempatan melakar sejarah menjadi syarikat pertama berjaya memasang telefon bimbit dalam negara, sekali gus menjadikannya produk Brunei Darussalam.
Telefon bimbit keluaran tempatan itu, BDFone yang selesai dipasang kira-kira seminggu lalu, membuat kemunculannya di BruXpo yang sedang berlangsung di Stadium Tertutup di Berakas.
Menurut Pengurus Besar syarikat tersebut, Zulkifli H Talip, mereka menggunakan teknologi dari Eropah manakala bahagian-bahagiannya adalah dari China dan ia menghasilkan dua model telefon bimbit, BDFone Jungle dan BDFone A2W yang tahan lama.
"BDFone Sdn Bhd adalah sebuah syarikat yang berusia setahun. Model terawal kami hanyalah kira-kira 500 unit yang digunakan sebagai percubaan bagi bahagian pemasangan kami, dengan merujuk model 2G mereka. Kini kami muncul dengan model serius dengan telefon pintar dan telefon tahan lasak."
Telefon pintar itu dikendali oleh Android manakala telefon tahan lasak itu adalah kalis air, kalis calar dan gegaran.
Telefon pintar itu berharga $200 manakala telefon tahan lama itu berharga $500.
"Ia adalah produk Brunei Darussalam. Kami merancang untuk mengeksport produk ini terutamanya ke pasaran Asia Tenggara. Memandangkan kami baru saja menyelesaikan pemasangan kami minggu lalu, kami akan memerhatikan bagaimana perkembangannya," katanya.
"Telefon ini diperakukan oleh laporan ujian IP67 yang telah diuji dan diakui oleh pihak ketenteraan. Kami menyasarkan pasaran seperti ketenteraan, minyak dan gas, agensi penguatkuasa.
"Jumlahnya di negara ini adalah terhad dan kami perlu mencari pasaran tertentu. Tentang rancangan masa depan kami boleh mengembangkan rekaan kami sendiri bila syarikat ini berkembang maju."
