Allahyarham Halizad pada saat-saat bahagia bersama anak-anaknya, (dari kiri) Nurul Salma, Nurul Sarah dan Nurul ShazaSINGAPURA - SEORANG jurutera Singapura mati lemas dalam laut, dikatakan ketika melakukan kerja pemeriksaan marin di Pontian, Johor, Jumaat lalu.
Namun, bagaimana Allahyarham Halizad Minsawi, 37 tahun, lemas menjadi tanda tanya kerana sampai kini isterinya, Cik Misha Mahmood, juga 37 tahun, belum mendapat maklumat terkiri daripada syarikat tempat suaminya bekerja.
Allahyarham bekerja di Wilson Taylor Asia Pacific Pte Ltd, sebuah syarikat khidmat kejuruteraan marin dan mengawal karat.
Menurut Cik Misha, beliau diberitahu tentang insiden itu oleh seorang teman Allahyarham yang membuat panggilan dari Johor sekitar 2.30 petang pada hari kejadian.
'Dia suruh saya bertenang dahulu sebelum memberitahu saya suami saya telah meninggal dunia akibat lemas. Dia berkata suami saya dibawa ke hospital di sana dan disahkan meninggal dunia pada dua petang.
'Apabila saya menghubungi syarikat suami saya sejurus selepas menerima panggilan itu, mereka sekadar memberitahu saya supaya tabah demi anak-anak, dan syarikat itu sedang menjalankan siasatan,' kata Cik Misha semasa dihubungi di sini semalam.
Pasangan itu mempunyai tiga anak - Nurul Salma, 11 tahun; Nurul Sarah, lapan tahun, dan Nurul Shaza, tiga tahun.
Cik Misha berkata beliau mendapat pelbagai 'cerita berlainan' tentang saat-saat terakhir Allahyarham sebelum kejadian itu.
'Ada yang berkata arwah terjatuh ke dalam laut dan apabila seseorang menghulurkan tangan cuba membantunya, arwah tidak dapat mencapai dan terus dipukul arus kuat.
'Ada pula berkata arwah tidak sepatutnya menyelam dan hanya perlu melakukan pemeriksaan, orang bawahannya yang sepatutnya menyelam hari itu. Tetapi oleh kerana orang itu tak ada, dialah yang terpaksa menyelam.
'Saya juga diberitahu yang arwah ditemui di dasar laut, sedalam 25 meter,' katanya.
Menurut Cik Misha, Allahyarham mempunyai sijil menyelam dan selalu pergi ke serata dunia, seperti Eropah, Timur Tengah dan China, bagi urusan pekerjaan, namun tidak pernah berlaku kemalangan.
Sejak dua tahun lalu, beliau diberi tanggungjawab menyelia projek di Malaysia.
