Dalam kejadian kemarin Puan Juli menunjukkan gambar 'wang palsu' yang menjadi hantaran belanja hangus perkahwinan anak perempuannya.
BANDAR SERI BEGAWAN - Pasukan Polis Diraja Brunei memandang serius perbuatan memalsukan wang yang merupakan satu jenayah dan boleh membawa kepada hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Sambil merujuk kepada laporan media kemarin yang bertajuk "Wang Palsu Jadi Belanja Hangus," pihak polis memberikan peringatan kepada orang ramai bahawa adalah menjadi satu kesalahan jenayah dalam Undang-Undang Negara Brunei Darussalam bagi sesiapa sahaja yang didapati membuat, mengedar, memiliki, menjual, membeli duit/wang palsu atau bersubahat melakukan perkara-perkara seperti yang dinyatakan.
Peringatan itu dikeluarkan oleh Pemangku Ketua Unit Perhubungan Awam, Pejabat Urus setia Pesuruhjaya Polis, Pasukan Polis Diraja Brunei dalam satu kenyataan kepada Media Permata hari ini.
Menurut kenyataan itu lagi, setakat ini tidak ada laporan rasmi diterima mengenai perkara berkenaan di mana seorang ibu tunggal terkejut dan tidak menyangka sama sekali apabila mendapati wang hantaran belanja hangus perkahwinan anaknya pada 1 Januari lalu adalah kepingan wang kertas cetakan warna sahaja.
Bagi kesalahan memalsukan duit atau wang, di bawah Bab 232 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22 di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 15 tahun dan boleh dikenakan hukuman denda.
Bagi kesalahan membuat atau menjual alat bagi tujuan untuk memalsukan duit/wang (di bawah bab 234 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22), di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 7 tahun dan boleh dikenakan hukuman denda.
Bagi kesalahan memiliki alat atau bahan bagi tujuan untuk memalsukan duit/ wang (di bawah bab 235 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22), di mana jika sabit kesalahan, dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 10 tahun dan boleh dikenakan hukuman denda.
Bagi kesalahan bersubahat di Brunei Darussalam untuk memalsukan duit/wang di luar Brunei Darussalam (di bawah bab 236 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22) di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum sama seolah-olah dia telah bersubahat memalsukan duit / wang di Brunei Darussalam.
Bagi kesalahan mengimport atau mengeksport duit/wang palsu (di bawah bab 238 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22) di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 10 tahun dan boleh dikenakan hukuman denda.
Manakala itu bagi kesalahan menyerahkan duit yang dimiliki dengan mengetahuinya sebagai duit/wang palsu (di bawah bab 240 Kanun Hukuman Jenayah Penggal 22), di mana jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama suatu tempoh yang boleh sampai 10 tahun dan boleh dikenakan hukuman denda.
Menurut kenyataan itu lagi, peringatan berkenaan adalah bertujuan untuk mengingatkan orang ramai agar mereka tidak terpedaya oleh mana-mana orang atau pihak yang cuba melakukan penipuan dengan menyerahkan atau mengedarkan duit/wang palsu di Brunei.


