Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Jumaat, 26 Mac 2010

Malaysia selamatkan 1,252 mangsa

(Foto Hiasan)



PUTRAJAYA :-- Malaysia berjaya menyelamatkan 1,252 mangsa pemerdagangan manusia dari 18 negara dalam tempoh 2008 hingga Mac 2010.

Daripada 202 kes pemerdagangan manusia yang dilaporkan dalam tempoh itu, 143 kes melibatkan eksploitasi seks, 43 kes perkhidmatan paksa, 11 kes penyeludupan manusia, empat kes penjualan bayi dan satu kes eksploitasi kanak-kanak.

Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Mahmood Adam berkata, daripada 1,252 mangsa yang diselamatkan, 837 orang merupakan wanita termasuk 57 orang kanak-kanak perempuan bawah umur.

Menurutnya, kerajaan melalui pelbagai agensi penguatkuasaan berjaya menangkap 282 orang berhubung jenayah pemerdagangan manusia.

‘‘Pemerdagangan manusia merupakan jenayah baru dan kita perlu memberi latihan kepada pegawai penguat kuasa, pendakwa dan hakim untuk mengendalikan kes-kes ini.

‘‘Kita akan melancarkan Pelan Tindakan Kebangsaan Antipemerdagangan Orang 2010-2015 pada 30 Mac ini di Parlimen, ia merupakan instrumen untuk mencegah, memulih dan melindungi mangsa pemerdagangan manusia,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan dialog dengan agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu ( PBB) mengenai pelan itu di sini malam tadi.

Dalam pada itu, Mahmood berkata, kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji sama ada untuk meletakkan jenayah penyeludupan manusia di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007 atau Akta Imigresen 1959/63.

‘‘Perkara ini sedang diteliti kerana seakan-akan terdapat zon kelabu berhubung kesalahan penyeludupan manusia yang boleh dibezakan dengan pemerdagangan manusia.

‘‘Sebelum ini kita akan mendakwa pesalah penyeludupan manusia atas kesalahan melindungi pendatang tanpa izin, tetapi kita mahu memberi penakrifan yang lebih jelas,” katanya.

Beliau berkata, pesalah di bawah Akta Antipemerdagangan Orang 2007 akan dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

‘‘Pesalah di bawah Akta Imigresen bagaimanapun hanya akan didenda RM15,000, penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular