NAJIB Tun Razak meletakkan simbol 1Malaysia sebagai simbolik pelancaran Skim Amanah Rakyat 1Malaysia dalam upacara bersejarah di PWTC, Kuala Lumpur, semalam. Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak melakar satu lagi detik bersejarah dalam usahanya meningkatkan taraf hidup rakyat apabila melancarkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) yang bakal memberi manfaat kepada 100,000 isi rumah berpendapatan rendah.
Melalui skim tersebut kata Perdana Menteri, mereka yang layak akan diberi peluang membuat pelaburan sebanyak RM5,000 dalam Amanah Saham 1Malaysia iaitu salah satu produk Permodalan Nasional Berhad (PNB) sama ada melalui simpanan peserta atau dalam bentuk pinjaman.
Beliau berkata, kelayakan pemohon skim tersebut terdiri daripada isi rumah berpendapatan antara RM500 hingga RM3,000 sebulan, hasil kombinasi pendapatan antara suami dan isteri atau ibu bapa tunggal.
“Seperti saya nyatakan sekiranya mereka yang tidak mempunyai simpanan, mereka boleh membuat pinjaman sebanyak RM5,000 daripada bank-bank yang mengambil bahagian iaitu Maybank, CIMB Bank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).
“Peserta yang menyertai skim ini dijamin memperoleh pulangan sebanyak RM134 sebulan sekiranya tidak membuat pinjaman. Jika meminjam, mereka tetap memperoleh imbuhan sebanyak RM50 sebulan selepas RM84 ditolak sebagai bayaran balik pinjaman,” katanya ketika berucap melancarkan Sara 1Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr. Wan Abdul Aziz Wan Abdullah; Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dan Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman
Perlaksanaan Skim Sara 1Malaysia yang dilancarkan di hadapan 10,000 orang terdiri daripada pelbagai lapisan hari ini, telah diumumkan terdahulu oleh Najib yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan Bajet 2012 tahun lalu.
Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri berkata, sekiranya mereka tidak mengambil pulangan yang diterima setiap bulan dalam tempoh lima tahun jumlah pendapatan keseluruhan para peserta skim terbabit boleh mencecah sebanyak RM13,000.
“Itu bagi mereka yang tidak membuat pinjaman, tetapi untuk peminjam, mereka juga masih berpeluang memperoleh pendapatan sebanyak RM5,000 selepas lima tahun ,” katanya.
Beliau percaya pakej yang ditawarkan oleh kerajaan itu sukar didapati di tempat-tempat lain.
Untuk tujuan itu katanya, kerajaan akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM100 juta melalui sebuah syarikat khas (SPV) dalam usaha memastikan skim tersebut dapat dijayakan sekali gus mampu memberi manfaat kepada golongan sasar.
