Nuffnang Ads

SAJIAN KAMI

BERITA-BERITA KASUS JENAYAH SEKSUAL DAN BERITA-BERITA SEMASA..

Rabu, 24 Februari 2010

Denda RM20ribu Nikah Siri di Indonesia

JAKARTA -Utusan Malaysia-23 Feb. - Penggubalan rang undang-undang yang menetapkan denda sebanyak RM20,000 terhadap rakyat asing yang bernikah tanpa berdaftar dengan wanita Indonesia bertujuan melindungi hak wanita dan anak-anak.

Setiausaha Agung Suruhanjaya Nasional Perlindungan Anak, Arist Merdeka Sirait berkata, rancangan rang undang-undang perkahwinan itu bertujuan melindungi wanita dan anak-anak yang sering teraniaya apabila pernikahan secara tidak berdaftar atau dikenali nikah siri di Indonesia berlaku.

"Denda sebanyak Rp500 juta (kira-kira RM20,000) itu bagi menggalakkan perkahwinan secara sah dan didaftar dengan jabatan agama," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kerajaan republik itu menetapkan syarat baru kepada lelaki asing yang ingin berkahwin dengan wanita Indonesia iaitu mereka dikehendaki membayar wang pendahuluan sebanyak 500 juta rupiah (RM170,000) bagi menjaga kebajikan wanitanya.

Wang itu yang perlu dibayar kepada sebuah bank Islam tempatan adalah sebagai jaminan nafkah kepada wanita terbabit sekiranya perkahwinan berkenaan berakhir dengan penceraian.

Syarat itu seperti yang terkandung dalam Draf Rang Undang-Undang Perkahwinan yang sedang dirangka dan ia mendapat sokongan kuat Majlis Ulama Indonesia (MUI).

Rancangan penggubalan undang-undang berkenaan menimbulkan bantahan banyak pihak di Indonesia, kerana mempertikaikan kesahihan pernikahan yang sah dari segi syarak, sedang perzinaan dan seks bebas tidak dikenakan tindakan.

Undang-undang berkenaan kata Arist, tidak mempertikaikan pernikahan siri yang sah dari segi agama Islam, tetapi ia bertujuan melindungi hak wanita dan anak-anak.

Ini adalah kerana, jelas beliau, anak-anak yang lahir daripada pernikahan sedemikian tidak akan dikeluarkan sijil kelahiran yang akan menyebabkan mereka tidak dapat mendaftar untuk mendapat pendidikan di sekolah kerajaan.

"Isteri-isteri yang dinikahi secara tidak berdaftar ini juga tidak berhak mendapat harta pusaka dan inilah yang mahu diperbetul oleh undang-undang tersebut," tegas beliau.

Menurut beliau, mengikut data yang diperoleh suruhanjaya berkenaan, sepanjang tahun lalu sahaja sebanyak 122 kes anak terbiar hasil daripada pernikahan tidak berdaftar.

"Pada tahun lalu juga sebanyak 2.5 juta pernikahan dijalankan dan daripada itu 34.5 peratus atau sekitar 600,000 pasangan bernikah secara siri," katanya.

Kebelakangan ini, kata beliau, jumlah wanita Indonesia yang bernikah dengan warganegara asing termasuk dari Malaysia dan Singapura juga banyak, kerana beberapa faktor kemiskinan dan impian mahu mengubah keturunan.

Pada kebiasaannya, jelas Arist, suami berkenaan akan meninggalkan begitu sahaja anak dan isteri apabila telah tamat bertugas di Indonesia dan terpaksa pulang ke tanah air masing-masing.

Pernikahan secara tidak berdaftar, tambah beliau, berlaku kerana lelaki terbabit mahu berkahwin untuk kali kedua atau lebih, tetapi tidak mendapat kebenaran daripada isteri pertama.

Selain pernikahan siri, kata beliau, terdapat juga pernikahan secara kontrak dilakukan dan pernikahan itu memang tidak sah dari segi agama Islam dan undang-undang di Indonesia.

"Oleh itu jika tidak mahu didenda, nikah sahaja secara sah dan berdaftar di pejabat agama," tegas beliau.

PENCARIAN DIBLOG INI

Arkib Blog

Anda juga perlu baca

Related Posts with Thumbnails

Pengikut

Test for your internet speed

Ads

Catatan Popular