
KUALA LUMPUR - “Jodoh, pertemuan dan ajal adalah takdir Allah. Kita tidak tahu apa akan terjadi esok. Insya-Allah jika ada jodoh, saya akan berkahwin,” kata Fasha Sandha.
Pelakon utama drama Cinta Elysa itu berkata demikian ketika ditanya mengenai desas desus dirinya bakal mengakhiri zaman bujang bersama buah hatinya, Rizal Ashram Ramli (Jejai), tahun depan.
Tidak mengiyakan mahupun menafikan, Fasha lebih senang memberi jawapan selamat terhadap gosip terbarunya.
Namun, pelakon ini berkata, dia tidak lokek berkongsi berita gembira apabila sudah bersedia dan sesuai masanya.
“Bila tiba masanya dan bila saya sudah ‘ready’, saya akan berkongsi dengan semua. Buat masa ini, ‘no comment’. Kita doakan yang baik-baik,” katanya.
Sejak kebelakangan ini, khabar angin bertiup kencang mengenai ura-ura Fasha akan melangsungkan hari bahagianya dengan Jejai sekitar majlis ulang tahun kelahirannya pada 28 Mac 2012.
Spekulasi mengenai pelakon itu dikatakan membuat persiapan hari perkahwinannya timbul selepas gambar Fasha mencuba sepasang gaun pengantin tersebar di kebanyakan blog tempatan.
Ketika ditanya konsep perkahwinan diimpikan, Fasha berkata dia belum ada perancangan mengenainya.
“Saya tidak fikir apa-apa lagi. Lagipun belum tiba masanya,” katanya yang enggan mengulas lanjut.
