
GEORGETOWN – “Saya rela dilokap ustaz. Saya tidak mahu suami saya tahu. Kalau tidak pasti dia marah dengan saya,” rayu seorang wanita yang ditahan kerana berkhalwat kepada Ketua Operasi dan Penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (Jaipp), Khairul Azman Azizan.
Wanita yang sudah 29 tahun berkahwin dan mempunyai tiga anak itu memberi alasan sedemikian ketika Khairul Azman memberitahu perlu menghubungi suaminya untuk ikat jamin.
Dia dan kekasihnya ditahan penguat kuasa Jaipp dalam serbuan di sebuah rumah tumpangan, kelmarin.
Mereka tergamak menipu suami dan isteri masing-masing dan membayar sewa rumah tumpangan yang hanya bernilai RM40 semalam.
Ketika ditahan lelaki itu tidak memakai baju manakala wanita berkenaan hanya memakai kemeja-T dan kain batik.
Lelaki berusia 45 tahun dan sudah dua kali berkahwin itu mengakui mengenali suami wanita berkenaan yang sama-sama bekerja sebagai pengutip barangan lusuh.
Menurutnya, ia adalah kali pertama dia mula mengajak kekasihnya yang berusia 44 tahun itu ke rumah tumpangan.
“Saya kenal suami dia dahulu sebelum kenal dengan dia sejak setahun lalu, tapi ini kali pertama saya ajak dia tidur di rumah tumpangan,” katanya.
Lebih menyedihkan apabila lelaki yang pernah bercerai dan kemudiannya berkahwin lain itu mempunyai isteri muda berusia 25 tahun yang kini sedang hamil lapan bulan.
Kedua-duanya ditahan mengikut Seksyen 27 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Pulau Pinang 1996 atas kesalahan berkhalwat yang boleh dikenakan hukuman denda RM3,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali.
