LIMBANG - Dua kanak-kanak menemui ajal dalam keadaan menyayat hati apabila masing-masing ditemui terduduk dalam tempayan bilik mandi dan rentung dalam bilik tidur selepas Rumah Panjang Lembung, Kuala Medalam, Entakong Medamit dekat sini, yang didiami 200 penghuni musnah dalam kebakaran, malam kelmarin.
Tragedi memilukan berlaku ketika kanak-kanak malang, Sofizza Camella anak Abang, 6, dikatakan terperangkap dalam kebakaran dan cuba menyelamatkan diri dengan bersembunyi dalam tempayan berisi air, sebelum ditemui dalam keadaan menyedihkan termasuk kesan melecur pada seluruh badannya.
Seorang kanak-kanak lelaki, Alexiss Jipo anak Juli berusia 32 bulan pula ditemui rentung dalam bilik tidurnya selepas gagal diselamatkan jiran yang terdengar kanak-kanak itu menangis dalam kejadian yang memusnahkan rumah panjang 33 pintu, jam 10.30 malam.
Ketika kejadian, Alexiss tidur dalam bilik, manakala Sofizza ditinggalkan bersama neneknya berusia 60-an selepas ibu bapa kanak-kanak malang terbabit keluar menziarahi penduduk rumah sama yang sakit.
Sebelum kejadian, Sofizza Camella dan Alexiss berada di rumah masing-masing, yang jaraknya dipisahkan beberapa pintu rumah, dikejutkan dengan tangisan seorang kanak-kanak sebelum api menjulang dari rumah nombor 12.
Difahamkan, tangisan Alexxis didengari seorang jiran, Satie anak Barol yang mendiami rumah bersebelahan sebelum bergegas keluar bagi menyelamatkan kanak-kanak terbabit, tetapi tidak berjaya.
Ketua Polis Daerah Limbang, Superintendan Mohd Bukhori Saffai berkata, Sofizza dikatakan berjaya diselamatkan neneknya sebelum ditempatkan di bahagian ruai rumah panjang berkenaan.
Beliau berkata, sejurus menyelamatkan kanak-kanak itu, warga emas terbabit masuk semula ke rumah ketika api sedang marak bagi menyelamat beberapa dokumen penting tanpa menyedari cucunya itu mengikut dari belakang.
“Sebaik keluar, barulah wanita itu menyedari cucunya hilang sebelum menemuinya terduduk dan sudah tidak bernyawa dalam tempayan. Polis percaya kanak-kanak terbabit terperangkap ketika masuk semula ke dalam rumah, tetapi gagal mencari pintu keluar, sebelum masuk ke dalam tempayan berisi air bagi menyelamatkan diri.
“Siasatan mendapati kebakaran berpunca daripada pelita di bilik tidur kanak-kanak lelaki terbabit sebelum merebak ke rumah lain.
“Usaha menyelamat yang dilakukan polis bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat berdepan kesukaran berikutan lokasi terbabit tidak dapat dihubungi melalui jalan darat,” katanya.
