Puluhan ribu pengguna MRT 'patah sayap' apabila perkhidmatan kereta api bagi laluan Utara-Selatan tergendala selama tujuh jam, dari6.50 pagi hingga 1.48 tengah hari semalam.SINGAPURA - PERKHIDMATAN kereta api MRT rosak lagi semalam - hanya dua hari selepas ia mengalami kerosakan besar yang menjejas ribuan penumpang.
Ini mendorong Menteri Pengangkutan, Encik Lui Tuck Yew, untuk mengarahkan syarikat pengangkutan awam, SMRT, menjalankan 'pemeriksaan kesihatan menyeluruh' kerana terdapat ketidakstabilan pada sistem kereta api mereka.
Menurut beliau, langkah ini penting bagi mengenal pasti puncanya dan memastikan hal serupa tidak berulang lagi.
Khamis lalu, perkhidmatan kereta api tergendala selama lima jam pada Khamis lalu dan semalam, ia berlarutan selama tujuh jam, menjejas puluhan ribu penumpang.
Insiden semalam menyaksikan perkhidmatan kereta api bagi laluan Utara-Selatan tergendala antara 6.50 pagi hingga 1.48 tengah hari.
Seramai 500 penumpang terpaksa 'membetis' dalam terowong selama kira-kira 13 minit untuk ke stesen Somerset apabila sebuah kereta api terkandas semasa dalam perjalanan dari stesen Orchard.
SMRT, dalam pada itu, menyediakan 80 bas yang melalui kawasan antara Ang Mo Kio dan Raffles Place, serta Marina Bay dan City Hall bagi membantu meringankan kesukaran yang dihadapi ramai.
'Saya fikir kita perlu mengetahui puncanya untuk memastikan sama ada apa yang berlaku hari ini ada kaitan dengan kejadian yang berlaku Khamis lalu,' kata Encik Lui, sewaktu ditemui pihak media ketika mengunjungi stesen MRT Newton bagi melihat lebih dekat keadaan yang berlaku.
Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), dalam kenyataannya semalam menyatakan, pihaknya telah mengarahkan SMRT menjalankan pemeriksaan rapi sebaik sahaja perkhidmatan kereta api tamat malam tadi.
Khidmat kereta api bagi laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat telah dihentikan mulai tengah malam tadi dan akan kembali beroperasi pada 10 pagi ini.
Perkhidmatan kereta api bagi laluan Circle dan Timur Laut (NEL) bagaimanapun tidak terjejas.
