Ariff Alfian RosliKUALA LUMPUR - Bekas pelajar perubatan University College Dublin (UCD), Ariff Alfian Rosli, 28, yang dilaporkan hilang oleh keluarganya kelmarin berada dalam keadaan selamat di Dublin, Ireland.
Duta Malaysia ke Ireland, Datuk Ramli Naam yang mengesahkan perkara itu berkata, pihaknya maklum tentang kehadiran Ariff Alfian di negara itu sejak beliau masih dalam pengajian di UCD lagi.
Bagaimanapun, katanya, pihak kedutaan dan Wisma Putra tidak boleh mendedahkan maklumat terperinci bekas pelajar tajaan Petronas itu kerana menghormati Akta Data Perlindungan Peribadi Dublin.
''Kerana itu juga Ibu Pejabat Imigresen Republik Ireland tidak boleh memberi maklumat berkaitan Ariff Alfian kepada ibu bapanya, ini kerana kita terikat dengan akta tersebut dan bukan seperti yang dilaporkan oleh ibu bapanya semalam.
''Status Ariff Alfian di sini sah termasuk dari segi visa dan segala dokumennya juga sah. Semua sah, tiada kesalahan. Justeru, beliau dibenarkan untuk menetap di sini.
"Namun, kita sebagai pihak yang terdekat dengan Ariff Alfian akan berusaha mendapatkan beliau supaya menghubungi keluarganya di Malaysia,'' katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Beliau mengulas laporan kehilangan Ariff Alfian yang dibuat oleh bapanya, Rosli Haron menerusi media Malaysia kelmarin.
